
PETALING JAYA: Tiada sebarang petunjuk diperoleh bagi mengesan keberadaan semua rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang di Nepal susulan banjir yang melanda negara itu 26 Ogos lalu.
Isteri kepada pegawai latihan Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa, Hani Othman berkata, dia bersama ahli keluarga mangsa yang lain masih belum berputus asa dalam usaha mencari kesemua mereka yang hilang termasuk suaminya.
Katanya yang kini berada di Nepal, pelbagai usaha sedang dilakukan bagi mendapatkan maklumat dan bantuan daripada pelbagai pihak untuk mengesan keberadaan rakyat Malaysia yang terlibat.
“Sekarang memang belum ada apa-apa. Kami pun tidak tahu di mana mereka berada. Sebab itu kami cuba kumpulkan semua maklumat yang ada untuk membantu pencarian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Hani, dia kini berada di Kathmandu, Nepal, yang mengambil masa kira-kira lima jam perjalanan dari lokasi ‘zero ground’.
Hani yang ke Nepal pada 28 Ogos lalu berkata, dia tidak dapat pergi ke lokasi kejadian atas faktor keselamatan dan hanya mengumpul maklumat menerusi kenalan warga tempatan di situ.
Jelasnya, dia juga pada awalnya tidak dapat memastikan tempoh berada di negara berkenaan memandangkan hanya membeli tiket penerbangan sehala.
“Saya tidak dibenarkan ke tempat kejadian. Saya cuba usahakan untuk kumpulkan maklumat jika ada perkembangan baharu. Semalam, saya ada juga ke hospital berdekatan namun tiada rakyat Malaysia di sana,” jelasnya.
Tambah Hani, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada peringkat awal hanya membabitkan anggota tentera manakala penyertaan sukarelawan dan pendaki berpengalaman tidak dibenarkan.
“Bagaimanapun, saya difahamkan bantuan dari China serta India dilaporkan tiba semalam bagi membantu usaha mencari mangsa,” ujarnya.
Ditanya mengenai perasaannya ketika ini, Hani mengakui sukar untuk menggambarkan apa yang sedang dilaluinya.
“Perasaan memang bercampur-baur. Sekejap rasa masih berharap, sekejap terfikir macam-macam. Kita cuma mampu terus berusaha, tunggu dan berharap ada perkembangan,”katanya.
Kelmarin, Kementerian Luar memaklumkan, seramai 91 rakyat Malaysia terdiri daripada 55 di Nepal dan 36 di China dilaporkan masih belum dapat dihubungi.
Wisma Putra juga berkata, akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan di China dan Nepal di samping menyemak silang maklumat dari kedua-dua negara bagi mengenal pasti sebarang pertindihan dalam laporan yang diterima. – UTUSAN
The post Tiada petunjuk keberadaan rakyat Malaysia yang hilang appeared first on Utusan Malaysia.






