Laungan merdeka lebih 20,000 rakyat Kelantan bergema Kota Bharu

31 Aug 2026 • 9:18 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Laungan merdeka lebih 20,000 rakyat Kelantan bergema Kota Bharu

KOTA BHARU: Laungan merdeka sebanyak tujuh kali yang diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan  disambut lebih 20,000 rakyat negeri ini bergema di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi sempena sambutan ambang kemerdekaan negara ke-69.

Suasana semakin hangat apabila pasukan demonstrasi Tempur Tanpa Senjata (TTS) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperagakan aksi mendebarkan termasuk lompatan gelung berapi, pemecahan kepingan konkrit dan konkrit berapi sebagai acara penutup sambutan.

Aksi berani itu menjadi antara detik paling mencuri tumpuan sebelum acara kemuncak disusuli persembahan bunga api yang menerangi ruang Stadium Sultan Muhammad IV.

Terdahulu, sambutan bermula seawal pukul 8 malam menerusi Karnival Ambang Merdeka yang merangkumi Solat Hajat dan Doa Selamat Hari Kebangsaan, Malam Munajat Merdeka, Simfoni Pergendangan serta nyanyian lagu-lagu patriotik.

Tepat pukul 9.30 malam, 69 kontijen daripada pelbagai jabatan, agensi dan institusi di Kelantan mengambil tempat dalam perbarisan masuk yang menambah kemeriahan sambutan.

Sementara itu, Mohd. Nassuruddin berharap rakyat Kelantan yang hadir ke stadium tidak pulang kosong, sebaliknya membawa pulang jiwa yang berkobar-kobar serta disuburkan semangat cintakan negara atau hubbul watan.

“Atas semangat hubbul watan inilah sejarah tanah air kita terpahat dengan rantaian perjuangan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan yang bangkit mempertahan bumi tercinta dengan segenap kudrat, keberanian dan pengorbanan.

“Mereka tidak pernah tunduk kepada penjajahan, bahkan terus berjuang sehingga laungan kemerdekaan bergema pada 31 Ogos 1957. Maka jangan sekali-kali kita mensia-siakan warisan perjuangan yang begitu mahal harganya ini,” katanya. – UTUSAN

The post Laungan merdeka lebih 20,000 rakyat Kelantan bergema Kota Bharu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved