Tiada pilihan bayaran digital, pengguna berdepan kesukaran berurus niaga

LocalDigital
10 Oct 2026 • 8:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Tiada pilihan bayaran digital, pengguna berdepan kesukaran berurus niaga

SHAH ALAM, 10 OKT: Pengguna yang semakin bergantung kepada pembayaran digital berdepan kesukaran berurus niaga apabila sesetengah premis masih hanya menerima wang tunai.

Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa mencari kedai lain atau menyediakan wang tunai, terutama apabila berlaku gangguan sistem pembayaran.

Laode Mior Mohammad Al-Jazam Edi, 25, berkata beliau lebih gemar menggunakan pembayaran digital sehingga sanggup mencari premis lain sekiranya kemudahan itu tidak disediakan.

Bagaimanapun, beliau pernah berdepan kesukaran ketika mahu menambah nilai Touch 'n Go apabila aplikasi berkenaan mengalami gangguan, manakala premis dikunjungi hanya menerima bayaran tunai.

Image from: Tiada pilihan bayaran digital, pengguna berdepan kesukaran berurus niaga
Laode Mior Mohammad Al-Jazam Edi, 25

“Premis tersebut hanya menerima pembayaran secara tunai untuk tambah nilai, pada masa sama saya pun tidak menyediakan wang tunai.

“Orang ramai sudah beratur di belakang dan saya telah menyusahkan mereka untuk selesaikan transaksi tersebut,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, Muhamad Nur Hazril Kamaruddin, 32, berkata beliau turut pernah berdepan situasi sama apabila mengunjungi kedai yang tidak menyediakan kemudahan pembayaran digital.

Menurutnya, walaupun transaksi digital dianggap lebih selamat dan mudah, pengguna masih perlu menyediakan wang tunai sebagai pilihan ketika kecemasan.

“Saya pernah pergi membeli di kedai yang tidak menerima pembayaran digital, jadi memang perlu juga bawa tunai sebagai persediaan kecemasan.

“Ada juga peniaga khususnya warga emas serta golongan yang kurang mahir menggunakan teknologi yang lebih selesa melakukan transaksi secara tunai,” katanya.

Bagi Singh Saam, 31, penggunaan pembayaran digital yang semakin meluas menyebabkan beliau ada kalanya tidak membawa wang tunai ketika keluar membeli-belah.

Image from: Tiada pilihan bayaran digital, pengguna berdepan kesukaran berurus niaga
Singh Saam, 31

Namun, beliau tetap memilih untuk menyediakan sedikit wang fizikal sekiranya berdepan premis yang tidak menawarkan transaksi digital.

“Sekarang banyak kedai sudah menyediakan pilihan untuk pembayaran secara digital.

“Tetapi saya lebih selesa menyediakan sedikit wang tunai sebagai persediaan,” katanya.

Dalam pada itu, pesara Mohd Isa Sarip, 68, berkata beliau menggunakan kedua-dua kaedah pembayaran mengikut keperluan kerana masih terdapat urusan yang lebih mudah diselesaikan menggunakan tunai.

Menurutnya, pembayaran digital lebih kerap digunakan di pusat beli-belah, manakala wang tunai menjadi pilihan ketika membeli barangan di kedai runcit.

“Pembayaran digital memang mudah, tetapi duit tunai pun kena ada.

“Sekurang-kurangnya perlu sediakan sebanyak RM50 untuk apa-apa urusan yang memerlukan transaksi tunai,” katanya.

Terdahulu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa peraturan lebih jelas diwujudkan bagi memastikan pengguna terus mempunyai pilihan pembayaran tunai susulan penggunaan transaksi digital yang semakin meluas.

FOMCA berpandangan pendigitalan kaedah pembayaran perlu menambah pilihan pengguna, bukannya menghapuskan penggunaan wang tunai, terutama bagi golongan yang kurang mahir menggunakan teknologi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved