'Tiada rundingan dengan ADUN BN, semua tutup telefon' - Aminuddin

LocalPolitics
29 Apr 2026 • 4:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Aminuddin

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengesahkan tiada sebarang rundingan dibuat pihaknya dengan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan susulan kemelut politik yang berlaku di negeri itu.

Bagaimanapun, beliau memberitahu ada cuba menghubungi beberapa ADUN BN bagi mendapatkan penjelasan selepas mereka mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kerajaan negeri Isnin lalu.

"Setakat ini, saya tak ada bincang dengan 14 ADUN BN yang menarik sokongan. Tapi saya ada cuba menghubungi beberapa ADUN ketika hari kejadian untuk dapatkan pengesahan, tapi semua tutup telefon," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Menurutnya, buat masa ini beliau menyerahkan apa saja keputusan kepada pucuk pimpinan parti termasuklah berkenaan rundingan kerjasama dengan mana-mana pihak termasuklah PN, sekiranya ada.

Jelasnya, beliau tidak mahu mendahului Pengerusi PH dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membuat keputusan.

"Sekarang ini bukan isu dia nak sokong saya ke tidak. Isunya sekarang, adakah Presiden saya bersetuju?

"Saya tidak mahu mendahului Presiden saya. Nanti kalau Negeri Sembilan pula berbeza dengan kerajaan Pusat ia nampak tidak sesuai. Tidak cantiklah, jika tiba-tiba di Negeri Sembilan, saya bersama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)," katanya.

Pada masa sama, Aminuddin turut memaklumkan bahawa beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan dalam menyelesaikan kemelut yang sedang berlaku di negeri itu ketika ini.

Tambahnya, ia termasuklah mengenai kedudukannya sebagai Menteri Besar yang dipegangnya sejak 2018.

"Saya serahkan kepada perundangan dan kuasa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Kalau tiba masa diberitahu kerajaan yang ada hari ini setakat ni, setakat inilah," katanya.

Namun ketika ini beliau berkata, telah diminta oleh Perdana Menteri untuk meneruskan tanggungjawab sebagai Menteri Besar sehingga dapat kata putus yang sesuai.

Malah katanya, keputusan itu juga turut dipersetujui oleh DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved