
PETALING JAYA: Tiada siapa mengatasi undang-undang dan mereka disabit kesalahan perlu menjalani hukuman mengikut lunas undang-undang seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata, pihaknya berazam meneruskan usaha membenteras rasuah, mengangkat agenda reformasi dan membersihkan negara dari unsur-unsur rasuah dan penyelewangan.
Katanya, Majlis Presiden PH berdiri teguh dengan pendirian Perdana Menteri dan juga nasihat Peguam Negara serta Menteri Wilayah kepada Lembaga Pengampunan pada hari ini.
“Majlis Presiden juga menegaskan bahawa tiada siapa yang mengatasi undang- undang.
“Dan sesiapa sahaja yang di sabit kesalahan perlu menjalani hukuman mengikut lunas undang-undang seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan
“Majlis Presiden berazam akan meneruskan usaha membenteras rasuah, mengangkat agenda reformasi dan membersihkan negara dari unsur-unsur rasuah dan penyelewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, mesyuarat Majlis PH berlangsung di Putrajaya bagi membincangkan situasi terkini politik negara.
Difahamkan mesyuarat yang berlangsung pada pukul 5.30 petang itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, media melaporkan mesyuarat berkenaan antara lain dijangka menyentuh mengenai kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan susulan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 minggu lalu.
Selain itu, antara perkembangan terkini yang berkemungkinan disentuh dalam mesyuarat berkenaan adalah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.-UTUSAN
The post Tiada siapa boleh atasi undang-undang – Majlis Presiden PH appeared first on Utusan Malaysia.






