KUALA LUMPUR – "Tidak ada siapa yang akan berasa gembira apabila berdepan pertuduhan di mahkamah, lebih-lebih lagi jika menganggap dakwaan terhadapnya tidak berasas dan kukuh."
Demikian kata peguam kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Amer Hamzah Arshad ketika ditanya mengenai perasaan anak guamnya selepas berdepan pertuduhan tersebut.
Amer Hamzah berkata, pihak pembelaan mendapati terdapat perkara yang dianggap 'pelik' berhubung keseluruhan pendakwaan terhadap Ismail Sabri.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan lebih lanjut mengenai perkara berkenaan buat masa ini kerana masih dalam proses penelitian.
“Apa yang boleh kami katakan adalah kami mendapati keadaan di sebalik keseluruhan pendakwaan ini agak 'pelik'. Kami mahu menelitinya dengan lebih lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Amer Hamzah turut memaklumkan, keadaan kesihatan Ismail Sabri semakin pulih dan beliau dijadualkan menjalani rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN).
Amer Hamzah turut melahirkan rasa lega kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku terhadap bekas Perdana Menteri itu pada Khamis.
“Alhamdulillah, beliau semakin pulih. Beliau dijadualkan menjalani rawatan susulan seterusnya di IJN.
“Jadi, untuk hari ini, saya berasa gembira kerana tiada kejadian yang tidak diingini berlaku terhadap beliau. Marilah kita terus berdoa agar beliau diberikan kesihatan yang baik,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan tidak mengisytiharkan harta iaitu wang tunai RM14.7 juta, jutaan mata wang asing serta lima jongkong emas, tahun lalu.
Pemimpin UMNO berusia 66 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Suzana Hussin.
Suzana kemudian membenarkan Ismail Sabri diikat jamin dengan wang jaminan berjumlah RM300,000 oleh penjamin terdiri daripada ahli keluarga, bagaimanapun tidak membenarkan permohonan pendakwaan supaya pasportnya diserahkan kepada mahkamah.





