Tiada siapa kebal jika zalimi haiwan – Tengku Permaisuri Selangor

1 Aug 2026 • 3:55 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tiada siapa kebal jika zalimi haiwan – Tengku Permaisuri Selangor

SHAH ALAM – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa amat dukacita, kecewa dan marah terhadap insiden kekejaman terhadap haiwan peliharaan serta haiwan terbiar khususnya anjing dan kucing yang masih berlaku dan tular sejak kebelakangan ini.

Baginda yang juga Penaung Diraja inisiatif Stray Free Selangor (SFS) di bawah kelolaan SPCA Selangor bertitah, perbuatan menyiksa, mencederakan, membunuh atau memperlakukan haiwan secara kejam bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang.

Malah baginda menegaskan, ia mencerminkan kegagalan mempertahankan nilai belas ihsan sesama makhluk dan kemanusiaan yang menjadi asas kepada sebuah masyarakat bertamadun.

“Tiada sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan akan diterima atau ditoleransi. Tidak kira siapa pelakunya. Tidak kira apa jawatannya. Tidak kira apa pun bangsa atau agama. Tidak kira atas alasan apa sekali pun.

“Pendirian ini terpakai kepada semua pihak, sama ada individu, organisasi, syarikat mahupun mana-mana agensi kerajaan dan pihak berkuasa. Tiada sesiapa berada di atas undang-undang,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Baginda berpandangan bahawa mana-mana pihak yang didapati melakukan kekejaman terhadap haiwan hendaklah disiasat secara menyeluruh dan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya termasuk jika perbuatan itu dilakukan oleh anggota atau pegawai pihak berkuasa.

“Kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan hanya akan terus terpelihara apabila setiap tindakan dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan penuh belas ihsan bukannya melalui kekerasan yang tidak perlu atau tindakan yang mengundang penderitaan kepada haiwan,” titahnya.

Sehubungan itu, baginda mengulangi saranan agar kerajaan, pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan serta masyarakat berganding bahu membina sebuah komuniti yang benar-benar berteraskan nilai belas ihsan terhadap semua haiwan.

Menurut baginda, kerjasama erat antara kerajaan, PBT, pertubuhan kebajikan haiwan dan masyarakat perlu terus diperkukuhkan bagi membudayakan sifat penyayang melalui penyelamatan, rawatan, pengurusan serta perlindungan haiwan secara berperikemanusiaan.

Baginda turut menyeru agar kebajikan haiwan dijadikan sebahagian daripada agenda membina masyarakat yang lebih bertanggungjawab, prihatin dan bertamadun, selain memastikan nilai belas ihsan menjadi asas kepada setiap dasar serta tindakan berkaitan pengurusan haiwan.

Pada masa sama, baginda menegaskan kesedaran terhadap kebajikan haiwan perlu dipupuk sejak usia muda menerusi pendidikan, kempen kesedaran awam dan penglibatan komuniti, di samping menjadikan slogan “Compassion. Care. Community.” sebagai nilai bersama dalam membentuk masyarakat yang lebih penyayang.

“Setiap kebaikan yang dilakukan terhadap haiwan membawa makna, dan setiap nyawa berhak dihargai. Seterusnya, membina sebuah negeri di mana setiap haiwan berhak dilindungi, dihormati dan diberikan layanan yang bermaruah,” titahnya.

Baginda percaya bahawa cara kita melayan haiwan mencerminkan siapa diri kita sebagai manusia.

“Sebuah masyarakat yang gagal menunjukkan belas ihsan kepada makhluk yang paling lemah akhirnya akan kehilangan nilai belas ihsan terhadap sesama manusia.

“Justeru, semua pihak diharap mengambil pengajaran daripada insiden-insiden yang berlaku dan bersama-sama memastikan bahawa Selangor menjadi sebuah negeri yang menjunjung tinggi nilai ihsan, keadilan dan tanggungjawab terhadap semua makhluk ciptaan Allah S.W.T., ” titah baginda.

Dalam pada itu, Tengku Permaisuri menyeru Kerajaan Persekutuan supaya mengkaji semula hukuman di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 agar hukuman terhadap pesalah kekejaman haiwan diperketatkan dan dikuatkuasakan dengan lebih konsisten.

“Sifat belas ihsan bukanlah tanda kelemahan. Sebaliknya, kemampuan melindungi makhluk yang paling lemah adalah ukuran sebenar kekuatan, kematangan dan ketamadunan sesebuah masyarakat,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

The post Tiada siapa kebal jika zalimi haiwan – Tengku Permaisuri Selangor appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved