Kekejaman terhadap haiwan cerminan kegagalan nilai ihsan – Tengku Permaisuri Selangor

1 Aug 2026 • 4:28 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Kekejaman terhadap haiwan

SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, menzahirkan dukacita terhadap insiden keganasan serta kekejaman terhadap haiwan peliharaan dan terbiar seperti yang tular dalam media sosial mutakhir ini.

Baginda bertitah, tindakan penyeksaan terhadap haiwan bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang, malah mencerminkan kegagalan dalam mempertahankan nilai belas ihsan sesama makhluk dan kemanusiaan.

“Perbuatan menyeksa, mencederakan, membunuh atau memperlakukan haiwan secara kejam bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang, malah mencerminkan kegagalan kita mempertahankan nilai belas ihsan sesama makhluk dan kemanusiaan yang menjadi asas kepada sebuah masyarakat bertamadun.

“Tiada sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan akan diterima atau ditoleransi. Tidak kira siapa pelakunya, apa pun jawatannya, bangsa atau agama. Tidak kira atas alasan apa sekali pun,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Tegas Tengku Permaisuri Selangor, tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang, semua pihak sama ada individu, organisasi, syarikat ataupun mana-mana agensi kerajaan dan pihak berkuasa tertakluk kepada pendirian tersebut.

“Mana-mana pihak yang didapati melakukan kekejaman terhadap haiwan hendaklah disiasat secara menyeluruh dan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya, termasuk sekiranya perlakuan tersebut dilakukan oleh anggota atau pegawai penguatkuasa sendiri,” jelas baginda.

Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan nasihat dan cadangan supaya semua pihak berganding bahu dengan mewujudkan komuniti yang benar-benar berbelas ihsan terhadap setiap haiwan dan membina budaya penyayang.

“Melakukan penyelamatan, rawatan, pengurusan dan perlindungan haiwan berperikemanusiaan. Menjadikan haiwan sebagai sebahagian daripada usaha membina komuniti yang lebih bertanggungjawab, prihatin dan bertamadun.

“Menjadikan ‘Compassion. Care. Community’ sebagai nilai bersama dalam membentuk sahsiah sesebuah masyarakat yang lebih penyayang dan berperikemanusiaan,” ujar baginda.

Malah, baginda turut menyeru Kerajaan Persekutuan mengkaji semula hukuman di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 supaya ia diperketat dan dikuatkuasakan dengan lebih konsisten.

“Cara kita melayan haiwan mencerminkan siapa diri kita sebagai manusia. Sesebuah masyarakat yang gagal menunjukkan belas ihsan kepada makhluk yang paling lemah akhirnya akan kehilangan nilai belas ihsan terhadap sesama manusia.

“Sifat belas ihsan bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya kemampuan melindungi makhluk yang paling lemah adalah ukuran sebenar kekuatan, kematangan dan ketamadunan sesebuah masyarakat,” titah baginda. – UTUSAN

The post Kekejaman terhadap haiwan cerminan kegagalan nilai ihsan – Tengku Permaisuri Selangor appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved