Tiada siapa kebal! Panglima Tentera Udara tegas isu pegawai TUDM terlibat dadah

20 Nov 2026 • 7:40 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memberi amaran keras bahawa tiada mana-mana anggota akan dilindungi sekiranya terbabit dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah, termasuk penyalahgunaan pesawat atau aset ketenteraan bagi tujuan jenayah.

TUDM pandang serius isu salah laku

Dalam satu kenyataan, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris menyatakan, pihaknya memandang serius sebarang salah laku dalam pasukan dan tidak akan berkompromi dengan individu yang terlibat tanpa mengira pangkat atau jawatan.

“TUDM tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang terbabit dalam kegiatan jenayah khususnya jika melibatkan penyalahgunaan pesawat atau aset ketenteraan,” katanya.

Terdahulu, lima pegawai TUDM antara 11 individu yang ditahan pada Selasa lalu bagi membantu siasatan berhubung sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang dipercayai menggunakan kemudahan penerbangan ketenteraan.

Operasi hasil kerjasama risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama Cawangan Provos Marsyal TUDM itu turut membawa kepada rampasan 96.64 kilogram dadah disyaki methamphetamine atau syabu bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kilogram cecair bahan kimia.

Image from: Tiada siapa kebal! Panglima Tentera Udara tegas isu pegawai TUDM terlibat dadah

Foto: Sinar Harian

Dalam perkembangan sama, Muhamad Norazlan menjelaskan penemuan bahan disyaki dadah itu bermula apabila petugas TUDM mengesan beberapa bagasi dalam keadaan mencurigakan di bangunan berkenaan.

“Pemeriksaan awal mendapati bagasi terbabit tidak mempunyai pelekat pengesahan pemeriksaan keselamatan, sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan anggota keselamatan Pasukan Pertahanan Darat TUDM (HANDAU) menggunakan mesin pengimbas.
“Hasil pemeriksaan itu mengesan beberapa bungkusan mencurigakan yang disusun kemas di dalam bagasi berkenaan,” ujar beliau.

5 pegawai dan 2 anggota sudah ditahan

Susulan penemuan itu, TUDM mengambil tindakan menahan individu yang disyaki terbabit sebelum menyerahkan mereka kepada JSJN Bukit Aman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Setakat ini, lima pegawai dan dua anggota TUDM ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
“TUDM akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh serta tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah,” tambah beliau.
Image from: Tiada siapa kebal! Panglima Tentera Udara tegas isu pegawai TUDM terlibat dadah

Foto: Harian Metro

Sumber: Facebook Tentera Udara Diraja Malaysia

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved