Kes dadah TUDM: EXCO gesa siasatan menyeluruh penyalahgunaan aset tentera

LocalPolitics
20 Nov 2026 • 5:24 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kes dadah TUDM: EXCO gesa siasatan menyeluruh penyalahgunaan aset tentera

SHAH ALAM, 20 NOV: Tindakan pengedaran dadah yang menggunakan aset ketenteraan adalah perkara serius dan pihak berkaitan perlu menjalankan siasatan dengan rapi.

EXCO Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata Tentera Udara Malaysia (TUDM) dan Kementerian Pertahanan perlu menjalankan siasatan menyeluruh agar perkara sebegini tidak berulang.

“Saya juga amat kecewa dengan pelaporan bagaimana anggota TUDM dan aset TUDM boleh digunakan untuk mengupayakan sindiket pengedaran dadah sebegini, walaupun pangkalan udara ini adalah sebuah kawasan terlarang yang sentiasa dikawal rapi.

“Saya menggesa siasatan dijalankan agar perkara sebegini tidak lagi berlaku. Amanah dan kuasa yang telah diberikan tidak wajar disalahgunakan untuk tujuan menjahanamkan negeri melalui pengupayaan sindiket pengedaran dadah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohammad Fahmi yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia menyatakan sokongan terhadap segala bentuk tindakan yang telah dan bakal dilaksanakan untuk menghentikan pembuatan, pengedaran, penjualan dan penggunaan dadah khususnya di kawasan DUN Seri Setia dan di Malaysia amnya.

“Dadah adalah musuh negara yang wajar dijauhi dan diperangi segara agresif oleh umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia dan tidak patut dibenarkan bertapak di negara ini,” ujarnya lagi.

Terdahulu, beliau berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas penahanan pegawai TUDM Subang yang disyaki telah menggunakan aset TUDM dan Pangkalan Udara untuk mengupayakan sindiket pengedaran dadah rentas sempadan.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Dato’ Hussein Omar Khan memaklumkan polis dan TUDM berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan aset ketenteraan, dengan penahanan 11 individu termasuk lima pegawai TUDM di Subang dan Labuan.

Penahanan itu susulan pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai dakwaan pembabitan anggota tentera, termasuk juruterbang TUDM serta pegawai berpangkat leftenan dan kapten dalam aktiviti itu.

Sementara itu, Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris memaklumkan lima bagasi tanpa pelekat saringan keselamatan mencetuskan kecurigaan yang membawa kepada penemuan dadah 96.6 kilogram (kg) dalam cubaan penyeludupan di Pangkalan Udara Subang TUDM Selasa lalu.

Jelasnya, anggota bertugas menyedari beg-beg berkenaan tidak melalui proses saringan yang diwajibkan, sekali gus mendorong pemeriksaan lanjut dijalankan.

Bagasi berkenaan kemudiannya dibawa ke mesin pengimbas, tempat anggota keselamatan dari unit Pertahanan Udara dan Darat (HANDAU) TUDM mengesan bungkusan mencurigakan yang disusun rapi di dalamnya.

Pemeriksaan menemukan bungkusan merah yang terkoyak mengandungi bahan menyerupai kristal yang disyaki dadah.

Hasil ujian mendapati bahan-bahan itu positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan MDMA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved