
PETALING JAYA: Pelakon, Rita Nadira, mendedahkan tiada siapa boleh menggantikan tempat Allahyarhamah Filzah Yusoff, iaitu ibu kepada pelakon Elfira Loy yang pernah menjadi pengurusnya hampir lima tahun.
Rita atau Rita Nadira Mohd Ritamurni, 29, berkata demikian menerusi hantaran di Instagramnya selepas arwah yang dianggap seperti ibunya sendiri menghembuskan nafas terakhir pada Ahad, semalam.
“Terima kasih mama sebab menjaga dan menjadi pengurus Dira hampir lima tahun. Sampai hari ini, tiada siapa lagi yang boleh menggantikan tempat mama dan mungkin tidak akan ada sampai bila-bila.
“Terima kasih atas nasihat dan tunjuk ajar yang mama pernah berikan kepada Dira. Terima kasih selalu masak sedap-sedap, tidak pernah berkira, dan sangat baik dengan Dira,” katanya.
Rita berkata, pemergian arwah amat memberi kesan buat dirinya selepas lima tahun bekerjasama dan rapat dengan arwah.
“Terima kasih kerana mama sayang Dira, Dira pun sayang mama. Dira akan sentiasa ingat semua nasihat dan pesanan mama. Dira sentiasa doakan mama, InsyaAllah.
“Saya mohon jasa baik semua untuk sedekahkan Al-Fatihah dan doakan arwah. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.
Sebelum ini, Elfira Loy berkongsi khabar duka pemergian ibunya, Filzah Yusoff yang menghembuskan nafas terakhir, semalam.
Pada 6 Ogos lalu, pelakon drama Qalisya itu memaklumkan ibunya yang berusia 61 tahun itu dijadualkan menjalani satu prosedur perubatan berisiko tinggi.
Bagaimanapun, Elfira tidak mendedahkan secara terperinci mengenai tahap kesihatan ibunya, sebaliknya memohon orang ramai mendoakan agar prosedur itu berjalan lancar.
Difahamkan, ibunya itu kritikal serta terpaksa ditidurkan berikutan penyakitnya, manakala prosedur intubasi itu dijalankan di sebuah hospital.
The post Tiada siapa yang boleh ganti tempat arwah, mungkin tidak akan sampai bila-bila – Rita Nadira appeared first on Utusan Malaysia.






