
BUKAN mudah untuk menerima kehilangan insan yang selama ini menjadi tempat bersandar, lebih-lebih lagi apabila sosok itu bukan sekadar ibu, tetapi teman baik yang sentiasa memahami setiap sisi diri.
Perasaan itulah yang sedang dirasai pelakon, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri atau Elfira Loy selepas kehilangan ibu tersayang, Filzah Yusoff.
Isteri kepada Muhamad Faris Khairol Anuar itu menerusi satu hantaran di media sosial miliknya meluahkan isi hati selepas pemergian wanita yang begitu dekat dengan kehidupannya.
Bagi Elfira, kehilangan tersebut bukan sesuatu yang mudah untuk diungkapkan kerana arwah bukan sekadar insan yang membesarkannya, malah turut menjadi sebahagian penting dalam urusan kehidupan dan kerjayanya.
Arwah adalah teman baik, penasihat, penjaga dan individu yang selama ini memahami dirinya, termasuk sisi Elfira yang lebih gemar memendam perasaan.

“Kakak bukan sahaja kehilangan seorang ibu, kakak kehilangan teman baik, seorang yang mengurus kerja kakak, stylist kakak, penasihat kakak, penjaga kakak dan yang paling penting, satu-satunya orang yang faham kakak.
“Satu-satunya, mama...
“Siapa lagi yang boleh faham kakak yang suka pendam dan tak bercakap ni selain mama?," ungkapnya di kapsyen.
Kenangan ketika menemani mama
Di sebalik kesedihan yang dirasakan, Wanita berusia 32 tahun itu turut mengimbau kembali tempoh ketika arwah ibunya jatuh sakit.
Ibu kepada dua cahaya mata itu mendedahkan, hari-hari yang dilalui bersama arwah di hospital menjadi kenangan yang akan sentiasa dekat di hati.
Walaupun tidak lagi dapat berbual seperti dahulu, Elfira bersama adik-beradiknya tetap memilih untuk berada di sisi ibu.
Mereka menemani arwah dengan membaca surah Yasin, menjadikan bacaan itu sebagai pengisi waktu ketika kata-kata sudah tidak lagi mampu dikongsi seperti biasa.
Baginya, mungkin itulah cara mereka terus meluangkan masa bersama mama pada saat-saat terakhir.

“ALLAH memang sayang mama.
“ALLAH tahu mama sayang kita orang dan nak kita orang senang. ALLAH tak tarik nyawa mama terus. ALLAH kasi kita orang practice hari-hari melawat mama dekat hospital tanpa boleh berborak dengan mama, hanya berbekalkan bacaan Yasin menjadi perbualan kita.
“And now. Is that it, Ma?
“Is that going to be our conversation forever?
“Hmmmm..." katanya lagi.
Dalam kesedihan itu juga, Elfira cuba melihat pemergian ibunya dari sudut yang lebih baik.
Dia percaya tiada pengakhiran yang lebih indah buat arwah selain pergi dalam keadaan dikelilingi kasih sayang, doa dan insan yang menyayangi dirinya.
“Kakak percaya, tiada pengakhiran yang lebih baik daripada ini.
“Mama pergi dengan cinta.
“Mama pergi dalam doa.
“Mama pergi setelah ramai datang menziarahi.
“You are loved, Ma.
“You always have been.
“You always will be," ujarnya.
Cinta mama terus menjadi bekalan
Kehilangan mungkin mengubah cara seseorang hadir dalam kehidupan kita, namun kasih sayang yang pernah diberikan tidak semestinya berakhir bersama pemergian.
Buat Elfira, segala yang diajarkan oleh arwah ibunya akan terus dibawa dalam perjalanan hidupnya selepas ini.

Begitu juga dengan doa dan kecintaan kepada Allah yang ditinggalkan sebagai bekalan buat anak-anak.
“Kakak akan terus hidup dengan cinta yang Mama ajarkan, dengan doa yang Mama tinggalkan, dan dengan ALLAH yang Mama cintai sepenuh hati.
“I love you, Ma," ungkap Elfira penuh makna.
Sebuah luahan ringkas, namun sarat dengan rasa kehilangan seorang anak yang bukan sahaja merindui ibunya, tetapi turut kehilangan insan yang selama ini paling memahami dirinya.
Buat Elfira, mama mungkin sudah tiada di sisi, tetapi kasih sayang, doa dan segala ajaran yang ditinggalkan akan terus hidup bersamanya.




