‘Kakak percaya, tiada pengakhiran lebih baik daripada ini’

EntertainmentLifestyle
14 Sep 2026 • 10:41 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Kakak percaya, tiada pengakhiran lebih baik daripada ini’

PETALING JAYA – Bagai hilang kata-kata, pelakon Elfira Loy menyifatkan kehilangan ibu, Filzah Yusoff bukan sahaja sebagai insan yang melahirkannya tetapi individu yang menguruskan kariernya.

Dalam masa sama, Elfira atau nama lengkapnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 32, mengenangkan tiada lagi insan yang benar-benar memahami peribadinya yang gemar menyimpan rahsia hati.

“Tak tahu nak cakap macam mana ma. Kakak bukan sahaja kehilangan seorang ibu, tapi teman baik, seorang yang menguruskan kerja kakak, penata gaya, penasihat, penjaga dan paling penting satu-satunya orang yang faham kakak.

“Mama, siapa lagi yang boleh faham kakak yang suka pendam dan tak bercakap ini selain mama?,” katanya dalam Instagram.

Biarpun hiba melihat keadaan ibunya sebelum ini, pelakon filem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang itu reda dan melihat ujian tersebut sebagai ruang untuk bersedia menghadapi perpisahan abadi.

“Allah memang sayang mama. Allah tahu mama sayang kami dan nak kami senang, Allah tak tarik nyawa mama terus.

“Allah bagi kami praktis hari-hari melawat mama di hospital tanpa boleh berborak dengan mama.

“Hanya berbekalkan bacaan yasin menjadi perbualan kita dan sekarang, adakah itu menjadi perbualan kita selama-lamanya?,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, Elfira tetap berlapang dada kerana pemergian ibunya diiringi dengan limpahan doa serta kehadiran ramai kenalan yang menziarahi arwah di saat akhir, mencerminkan betapa disenanginya arwah ketika hayat.

“Kakak percaya, tiada pengakhiran yang lebih baik daripada ini. Mama pergi dengan cinta, dalam doa dan setelah ramai datang menziarah.

“Mama amat disayangi, sentiasa disayangi dan selamanya disayangi.

“Kakak akan terus hidup dengan cinta yang Mama ajarkan, dengan doa yang Mama tinggalkan dan dengan Allah yang Mama cintai sepenuh hati. Kakak sayang mama,” luahnya.

Semalam, Elfira berkongsi khabar duka pemergian ibunya yang menghembuskan nafas terakhir selain meminta orang ramai mendoakan agar Allah SWT mengampuni dosa insan kesayangannya itu, selain ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.

Pada 6 Ogos lalu, pelakon drama Qalisya itu memaklumkan ibunya yang berusia 61 tahun itu dijadualkan menjalani satu prosedur perubatan berisiko tinggi.

Namun, ibu kepada dua orang anak itu tidak mendedahkan secara terperinci mengenai masalah kesihatan ibunya.

Difahamkan, ibunya itu kritikal serta terpaksa ditidurkan berikutan penyakitnya, manakala prosedur intubasi itu dijalankan di sebuah hospital. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Kakak percaya, tiada pengakhiran lebih baik daripada ini’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved