Tiada siasatan dakwaan peruntukan RM180,000 kepada bekas 17 ADUN PH Negeri Sembilan - SPRM

LocalPolitics
2 Sep 2026 • 4:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiada siasatan dakwaan peruntukan RM180,000 kepada bekas 17 ADUN PH Negeri Sembilan - SPRM
Abd Halim bercakap dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM pada Rabu. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

PUTRAJAYA - Tiada siasatan dijalankan berhubung dakwaan peruntukan RM180,000 yang diluluskan kepada 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) sehari sebelum pembubaran DUN Negeri Sembilan pada 5 Jun lalu.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, tindakan boleh diambil sekiranya terdapat aduan atau bukti yang menunjukkan peruntukan itu disalahgunakan.

"Setakat ini, pihak kami tidak menerima apa-apa laporan berkaitan perkara tersebut dan kami tidak akan menyiasatlah.

"Sekiranya ada pihak membuat aduan kepada pihak SPRM atau mana-mana agensi penguatkuasa lain, maka kami akan melakukan penyiasatan sewajarnya jika dapat dibuktikan peruntukan tersebut telah disalahgunakan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Rabu.

Terdahulu, seramai 17 ADUN PH dan dua penyelaras DUN daripada kerajaan Negeri Sembilan terdahulu dikehendaki memulangkan semula peruntukan diterima bagi tempoh Julai hingga September.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, kerajaan negeri sebelum ini meluluskan peruntukan berkenaan pada 3 Jun dan dana disalurkan pada 4 Jun, sehari sebelum DUN dibubarkan.

Mengulas lanjut, Abd Halim berkata, kerajaan semasa mempunyai hak untuk memperkenalkan sebarang dasar atau meluluskan peruntukan selagi ia tidak bercanggah dengan undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan.

"Jika benar peruntukan itu diisytiharkan atau diberikan sehari sebelum pembubaran DUN, maka kerajaan yang mengisytiharkannya adalah kerajaan yang sah.

"Ianya berbeza sekiranya peruntukan tersebut diisytiharkan ataupun diberikan ketika menjadi kerajaan sementara iaitu tempoh menunggu pilihan raya, keadaan itu tidak boleh membuat polisi baru, peruntukan dan sebagainya," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved