PUTRAJAYA - Siasatan dan penahanan mana-mana individu termasuk ahli politik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dilakukan secara semberono, sebaliknya dilaksanakan hasil penyiasatan dan prosedur operasi standard (SOP) tertentu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, tugas SPRM ialah menyiasat berdasarkan aduan.
"Pihak kami tidak akan melakukan siasatan secara semberono dan ada SOP tertentu.
"Di peringkat SPRM saya telah menubuhkan satu jawatan kuasa iaitu bagi meneliti kertas siasatan-kertas siasatan lama yang tidak berkeputusan.
"Terdapat beberapa kertas siasatan yang lama dibuka dahulu di mana setakat hari ini tiada keputusan, jadi jawatan kuasa ini akan menyaring, meneliti semua kedudukan kertas siasatan itu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Rabu.
Beliau berkata, selepas penelitian dilakukan kemudian diangkat kepada jawatan kuasa sebelum menilai dan meneliti bagi SPRM melihat sama ada wajarkah diakukan pertuduhan, penyiasatan lanjut dan adakan cukup dari segi perudangan.
Jelasnya, selepas perkara itu dilihat mungkin akan timbul satu persatu isu.
Sebelum ini, beberapa individu kenamaan antara yang disiasat susulan pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (LTH).
Bahkan, pada Rabu, seorang bekas menteri ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan susulan RCI tersebut berkaitan pelaburan pajakan hotel di Mekah dan Madinah.
Selain itu, 28 Ogos lalu, bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima suapan RM1.097 juta, empat tahun lalu.






