Tiada toleransi terhadap penyeludupan dadah libat anggota keselamatan

LocalPolitics
19 Nov 2026 • 8:13 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiada toleransi terhadap penyeludupan dadah libat anggota keselamatan

SHENZHEN (China): Kerajaan tidak akan berkompromi dengan kegiatan penyeludupan dadah dan rasuah yang melibatkan juruterbang dan anggota keselamatan, termasuk pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kegiatan itu merupakan perkara serius yang boleh menjejaskan keselamatan negara sekiranya tidak ditangani dengan tegas, tanpa mengira kedudukan atau pangkat individu yang terlibat.

“Bagaimana boleh kita harapkan negara ini boleh selamat kalau kita boleh izinkan perkara ini? Jadi apabila kita tanya, dia kata ‘ada yang besar (berpangkat tinggi) pun ambil’. Ambil tindakan, jangan kita tolak ansur sekali lagi,” kata beliau pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2026 di sini hari ini.

Anwar berkata, beliau telah berbincang dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd, Khalid Ismail, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung kes terbaharu yang melibatkan pegawai TUDM, termasuk pegawai berpangkat leftenan dan kapten serta juruterbang, selain orang awam.

Beliau berkata pihak polis dan tentera memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan siasatan serta mengambil tindakan terhadap kumpulan yang terlibat, namun menegaskan beliau tidak mahu perkara itu berlarutan tanpa tindakan sewajarnya.

“Mereka memerlukan sedikit masa untuk memberikan keterangan penuh tetapi saya kurang sabar.

“Saya mengatakan dalam sidang media ini, saya akan keluarkan juga (dedahkan) kerana saya tidak mahu ada yang beranggapan sengaja kita lengah.

“Polis Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah berbincang dengan pihak angkatan tentera merasakan perlu diambil sedikit masa untuk mengambil tindakan kepada kelompok-kelompok yang terlibat,” kata beliau.

Anwar berkata. tindakan tegas perlu diambil tanpa melindungi mana-mana individu atau menjaga imej sesebuah jabatan, memandangkan isu itu membabitkan kepentingan dan keselamatan negara.

“Bukan hendak selamatkan imej ataupun jabatan. Tidak. Hal ini satu perkara yang serius. Bayangkan… leftenan, kapten dan juga ada orang awam,” kata Perdana Menteri.

Anwar turut memuji tindakan PDRM, khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik yang mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan penyeludupan dadah serta kumpulan jenayah terancang, termasuk sindiket yang sebelum ini dikenal pasti aktif.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan turut melibatkan rampasan aset bernilai besar serta pembekuan akaun kewangan, sekali gus mencerminkan keseriusan pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan jenayah berkenaan.

Perdana Menteri berkata, kerjasama antara PDRM, pihak tentera dan kementerian berkaitan amat penting bagi memastikan tindakan menyeluruh dapat dilaksanakan, termasuk terhadap kegiatan penyeludupan, rasuah dan penyalahgunaan sistem kewangan.

“Kalau kita tidak memberikan dukungan penuh untuk bertindak terhadap penyeludupan, rasuah yang berlaku ini, negara ini tidak terjamin keselamatan.

“Kita bekerjalah, menteri, pergilah carilah berpuluh, ratus atau bilion pelaburan, tetapi bocornya kalau berterusan, tidak ada jamin keselamatan,” kata beliau.

Anwar menegaskan keselamatan negara tidak boleh dikompromi oleh mana-mana pihak, termasuk anggota yang sepatutnya bertanggungjawab melindungi negara.-BERNAMA

The post Tiada toleransi terhadap penyeludupan dadah libat anggota keselamatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved