
Lelaki yang maut digilis tren transit aliran ringan (LRT) di stesen Dato Keramat semalam dipercayai turun ke landasan sendiri.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 10.56 malam daripada anggota polis bantuan.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis mendapati mangsa yang juga lelaki tempatan bersama penumpang lain sedang menunggu LRT di platform 1.
"Ketika tren hendak berhenti, tiba-tiba mangsa melompat dan baring di landasan lalu dilanggar oleh LRT berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Ashari berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian jam 11.13 malam.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, justeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi talian 039289922 bagi membantu siasatan," katanya.

