Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menggesa tindakan serius diambil susulan kontroversi melibatkan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Madani. Menurut beliau, situasi ini menimbulkan persoalan serius tentang integriti dalam pejabat Perdana Menteri.
“Rupa-rupanya inilah yang terjadi! Kotornya mainan politik jijik di pejabat Perdana Menteri Madani,” kata Ahmad Fadhli.
Beliau merujuk kenyataan YB Rafizi Ramli dalam podcast baru-baru ini, di mana Rafizi mendakwa beliau telah beberapa kali menasihati Perdana Menteri berkaitan isu Setpol tersebut, namun tiada tindakan diambil.
“Jika wang sebanyak ini sampai ke tangan Setpol PM, adakah ia juga sampai ke tangan PMX? SPRM wajib ambil tindakan serius. Ini isu integriti – tidak pernah seorang Setpol paling kanan Perdana Menteri terlibat dengan isu sebesar ini,” tegas beliau.
Ahmad Fadhli menambah, peletakan jawatan Setpol sahaja tidak mencukupi. Beliau menuntut Perdana Menteri sendiri bertanggungjawab dan meletak jawatan jika benar berlaku salah laku.
“Rakyat Sabah, ingatlah baik-baik. Jangan takut membuat pilihan. Jangan terpengaruh dengan kata-kata pilih kerajaan yang selari dengan pusat. Pilih Perikatan Nasional kali ini, PRU nanti pilih PN di peringkat pusat, selarilah nanti kerajaan negeri dengan pusat,” ujar beliau.
Baca juga:
Beliau turut mengingatkan ahli PKR agar menyoal tentang isu berkenaan kepada Presiden mereka.
“Jika Setpol tidak bersalah, kenapa perlu meletak jawatan? Namun jika benar salah, kenapa PMX mempertahankannya pada peringkat awal? Bukankah baru minggu lepas PMX kata tiada apa yang salah dengan Setpol beliau? Dan kalau salah, selama mana kesalahan ini berlaku? Tidakkah timbul tanggapan bahawa bos pun ada share?” kata Ahmad Fadhli.
Terdahulu, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memaklumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri melalui hantaran di platform X, dengan menyatakan keputusan itu dibuat susulan wujud percubaan menyerang beliau dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.
Ahmad Fadhli menekankan bahawa isu ini bukan sekadar tentang individu, tetapi soal integriti dan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negara.
The post ‘Tidak cukup Setpol, PMX sendiri wajib letak jawatan’ – Fadhli Shaari appeared first on The Reporter.

