GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang mengekalkan pendekatan kerja sedia ada tanpa melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) buat masa ini bagi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, hasil penilaian mendapati pelaksanaan BDR belum diperlukan ketika ini memandangkan keutamaan diberikan kepada kecekapan operasi pentadbiran negeri.
Menurutnya, terdapat beberapa jabatan yang tidak sesuai melaksanakan kaedah tersebut kerana memerlukan kehadiran fizikal pegawai di pejabat.
“Sebagai contoh, jabatan yang menguruskan hal ehwal tanah dan kaunter perkhidmatan memerlukan petugas berada di lokasi bagi memastikan urusan berjalan lancar tanpa menjejaskan kepentingan orang ramai,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini pada Rabu.
Beliau dalam pada itu menegaskan, kerajaan negeri kekal komited untuk memastikan mutu penyampaian perkhidmatan awam sentiasa berada pada tahap cekap, berkesan dan responsif.
"Sebarang perubahan berkaitan kaedah kerja akan terus dinilai dari semasa ke semasa selaras dengan perkembangan dan keperluan semasa."
Khamis minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan langkah tambahan termasuk menetapkan peraturan kerja yang lebih anjal seperti pelaksanaan BDR secara berperingkat bagi penjawat awam.
Anwar berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan awam di samping menyesuaikan kaedah kerja dengan keperluan semasa.
Selain sektor awam, beliau turut menyarankan sektor swasta supaya melaksanakan kaedah sama seperti yang telah diamalkan oleh beberapa syarikat dan institusi perbankan.

