GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang mengambil langkah menambah baik mekanisme kadar cukai tanah selepas menerima pelbagai aduan daripada pemilik tanah berhubung pelaksanaannya sejak awal tahun ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu telah diteliti oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang kemudiannya bersetuju melaksanakan kaedah pengelasan semula berdasarkan penggunaan bangunan.
Menurutnya, penambahbaikan tersebut melibatkan tanah Gred Pertama di bawah syarat A, B dan C selain tanah kategori Nil (NIL) yang tidak mempunyai Kebenaran Merancang.
“Semakan ini memberi tumpuan kepada tanah industri dan komersial yang digunakan tanpa kelulusan perancangan yang sah,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini pada Rabu.
Turut hadir, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Datuk Dr Faizal Kamarudin.
Menurut beliau, menerusi pendekatan baharu itu, kadar cukai akan diselaraskan mengikut kategori Bangunan (Lain-lain) dengan kadar 70 sen bagi setiap meter persegi untuk kawasan bandar dan 50 sen bagi kawasan luar bandar berbanding kadar asal RM3.25.
Bagaimanapun, katanya, pemilik tanah yang terlibat tidak lagi menikmati rebat 50 peratus kerana kadar baharu yang ditetapkan adalah lebih rendah.
Dalam pada itu, Kon Yeow menjelaskan langkah berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam mengurangkan beban kewangan rakyat khususnya pemilik tanah yang terkesan dengan kenaikan sebelum ini.
Beliau turut menggesa pemilik tanah supaya mengurus dan membangunkan tanah masing-masing mengikut saluran perundangan yang betul demi memastikan pembangunan negeri berjalan secara mampan.
Sehingga 31 Mac lalu, sebanyak 4,001 maklum balas dan rayuan telah diterima oleh pejabat daerah di seluruh Pulau Pinang.
Daripada jumlah itu, Kon Yeow berkata, sebanyak 2,885 rayuan berkaitan peningkatan ketara kadar cukai tanah termasuk melibatkan tanah Gred Pertama, pertukaran status luar bandar ke bandar, tanah pertanian durian, tanah bukit serta permohonan semakan kadar.
"Sebanyak 1,116 rayuan pula membabitkan isu teknikal dengan 574 kes melibatkan bangunan merentasi beberapa lot selain isu kekangan kewangan, projek terbengkalai, organisasi bukan berasaskan keuntungan serta tanah terbiar.
“Sebanyak 3,043 kes kini dalam tindakan Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Tanah dan Galian negeri,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan seramai 163,262 pemegang akaun cukai tanah atau 54 peratus daripada pembayar aktif bagi tahun 2025 telah menjelaskan bayaran setakat 31 Mac.
Katanya, jumlah itu sedikit menurun berbanding tempoh sama tahun lalu, dipercayai disebabkan pemilik tanah mengambil sikap menunggu perkembangan lanjut sebelum membuat bayaran.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemilik tanah agar mengemukakan rayuan sebelum tarikh akhir pada 30 April, walaupun permohonan lewat masih boleh dipertimbangkan.
Mengulas pertemuan pada 30 Mac bersama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Kon Yeow berkata, penjelasan berkaitan isu semakan kadar cukai tanah telah diterima baik semua pihak.
Menurutnya, pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana positif dengan penerangan menyeluruh diberikan namun tiada keputusan dibuat kerana segala langkah ditentukan oleh MMK selepas mempertimbangkan cadangan bagi meringankan beban rakyat.
Terdahulu, Anthony menggesa bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Kon Yeow supaya menghentikan pertikaian terbuka berhubung isu kenaikan cukai tanah yang mencetuskan polemik.
Beliau turut menegaskan, kepentingan disiplin parti serta memaklumkan satu pertemuan akan diadakan bagi meredakan ketegangan antara kedua-dua pemimpin berkenaan.


