
Kota Kinabalu: Bekas Pengarah Jabatan Air Sabah (Jans) Ag Mohd Tahir Mohd Talib memberitahu Mahkamah Khas Rasuah pada Rabu bahawa beliau tidak pasti sama ada wang tunai berjumlah RM20 juta yang ditemui di pejabat Pengarah Jabatan Air Sabah itu milik dua pengarah sebelumnya.
Ag Mohd Tahir berkata demikian di hadapan Hakim Abu Bakar Manat ketika disoal balas oleh pihak pendakwaan.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) SPRM Mahadi Abdul Jumaat mengenai siapa yang menjadi Pengarah Jans sebelum beliau Ag Mohd Tahir menyatakan sepanjang beliau menjadi Timbalan Pengarah dirinya pernah berkhidmat di bawah dua orang pengarah iaitu Cosmas Abah dan seorang lagi yang beliau tidak dapat ingat namanya.
Ag Mohd Tahir bersetuju dengan TPR bahawa ketika tempoh perkhidmatan dua pengarah terdahulu itu mereka menggunakan pejabat yang sama dengan pejabat yang digunakannya semasa menjadi Pengarah.
Beliau juga mengesahkan bahawa pejabat tersebut adalah bilik khas pengarah.
TPR: Adakah anda ingin mengesahkan hari ini bahawa RM20 juta yang ditemui itu milik dua pengarah berkenaan?Ag Mohd Tahir: Saya tidak pasti.
Ketika ditanya Ag Mohd Tahir juga berkata beliau tidak pasti sama ada wang itu merupakan dana akses pengarah ataupun bukan milik Jabatan Air.
TPR: Daripada jawapan anda tadi adakah anda setuju bahawa jika seseorang tiba-tiba menemui RM20 juta dalam bilik peribadinya, ia pasti menimbulkan rasa sangat mencurigakan?Ag Mohd Tahir: Mungkin.
TPR: Dalam erti kata mudah anda masuk ke pejabat nampak RM20 juta dalam bilik sendiri dan anda tahu wang itu bukan milik jabatan atau sesiapa pun. Adakah anda setuju ia akan menimbulkan rasa pelik dan mencurigakan?Ag Mohd Tahir: Mungkin.
TPR: Berdasarkan jumlah dan keadaan wang itu ditemui bukankah ketika itu anda rasa ia hasil daripada aktiviti haram seperti rasuah?Ag Mohd Tahir: Mungkin.
TPR: Selepas melihat wang itu anda tidak membuat laporan kepada PA anda. Betul?Ag Mohd Tahir: Betul.
Beliau juga bersetuju dengan pendakwaan bahawa dirinya tidak membuat sebarang laporan kepada pihak berkuasa atau mengambil tindakan mengenal pasti pemilik atau sumber wang itu sama ada ia sah atau hasil aktiviti haram.
Pihak pendakwa kemudian menyatakan bahawa berdasarkan jawapan terdahulu beliau telah menyimpan wang tersebut malah menambah RM3 juta kepada wang berkenaan.
Ag Mohd Tahir: Itu tidak benar.
Pendakwa turut mencadangkan bahawa berdasarkan fakta itu beliau telah menikmati penggunaan RM23 juta yang ditemui di pejabatnya.
Ag Mohd Tahir: Saya tidak setuju.
Beliau bersetuju bahawa sepanjang beliau berkhidmat di Jans tiada seorang pun tahu bahawa dirinya menyimpan RM23 juta di bilik pantri namun tidak bersetuju dengan cadangan bahawa wang RM20 juta yang berada di pejabat sebelum tempohnya itu adalah sesuatu yang “terlalu baik untuk dipercayai”.
Sementara itu menjawab soalan TPR Zander Lim, Ag Mohd Tahir mengaku pernah mengira secara kasar wang yang disimpan di pantri.
Bagaimanapun beliau menolak kenyataan bahawa tindakannya mengira wang itu membuktikan ia miliknya.
Lim: Jika wang itu bukan milik anda kenapa anda rasa perlu mengiranya?Ag Mohd Tahir: Saya hanya kira secara kasar untuk dapatkan anggaran jumlah.
Lim: Selepas kira anda ikat semula dan simpan elok-elok dalam kabinet atau sekitar pantri.
Ag Mohd Tahir: Itu tidak benar.
Lim: Jumlah ini besar. Jika bukan milik anda kenapa anda tidak laporkan kepada pihak berkuasa?Ag Mohd Tahir: Sebab ia bukan milik saya.
Ag Mohd Tahir, 63, kini dibicarakan bersama isterinya Fauziah Piut, 60, dan bekas timbalan pengarah Lim Lam Beng, 66, dengan masing-masing berdepan pertuduhan berasingan daripada keseluruhan 37 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM61.57 juta dalam bentuk tunai, simpanan bank dan pemilikan haram barangan mewah antara Oktober hingga November 2016.
Menjawab soalan lain oleh TPR Mahadi, Ag Mohd Tahir mengesahkan dalam kenyataan saksi terdahulu bahawa wang yang disimpan di rumah, kenderaan dan pejabatnya adalah hasil urusan perniagaan antara beliau dengan Ag Fauzi, Harris dan Michael Wong.
Beliau mengesahkan menerima RM30 juta daripada Wong, RM12 juta daripada Ag Fauzi dan RM5 juta daripada Harris.
Apabila ditanya mengenai jawatan, pegangan saham atau dokumen sokongan bagi membuktikan urus niaga dengan Harris, Ag Mohd Tahir berkata perniagaan itu berasaskan kepercayaan dan tiada jawatan rasmi, saham atau dokumen kerana semuanya hilang selepas pejabat ditutup.
Ag Mohd Tahir menolak cadangan pendakwa bahawa kerana tiada dokumen sokongan atau butiran jelas wang yang didakwa diterimanya itu bukan komisen perniagaan tetapi sebenarnya rasuah yang diterimanya ketika menjadi Pengarah Jans.
Beliau juga menolak cadangan bahawa keterangannya tentang penglibatan dalam skim kutipan berpusat hanyalah penafian kosong serta menolak cadangan bahawa kenyataannya mengenai sumber wang daripada perniagaan adalah dakwaan tanpa asas.
Ag Mohd Tahir turut menolak cadangan bahawa meskipun beliau ada peluang untuk membuktikan dakwaannya sejak 2015 beliau hanya mengemukakan fakta berkenaan sembilan tahun selepas ditangkap.
Ketika ditanya lagi beliau menafikan cadangan pendakwa bahawa semua keterangannya di mahkamah hanyalah rekaan untuk menyelamatkan diri daripada disabitkan kesalahan.
Turut hadir bagi pihak pendakwaan ialah TPR Haresh Prakash Somiah.
Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili peguam Datuk Ansari Abdullah manakala Lim dibela oleh Datuk Tan Hock Chuan dan Baldev Singh.
Perbicaraan bersambung.



