
PETALING JAYA: Penyanyi kelahiran Indonesia, Fadhilah Intan, berpandangan bahawa penyanyi tidak perlu menunggu untuk mempunyai album penuh untuk anjurkan konsert sekiranya konsert tersebut hanyalah berskala kecil.
Fadillah atau Fadhilah Intan Pramita Sari, berkata, konsert berskala kecil ini bertujuan untuk mendekatkan diri bersama peminat dan tidaklah menuntut untuk menyanyikan banyak lagu.
Menurutnya, jika konsert tersebut dianjurkan secara besar-besaran, wajarlah setiap penyanyi mempunyai album terlebih dahulu sebelum menganjurkan konsert berskala mega.
“Bagi saya, kalau sekadar konsert berskala kecil yang dianjurkan sendiri tanpa penaja besar, saya berani buat walaupun penonton sedikit. Konsert itu dibuat dengan tiket percuma supaya orang ramai datang menonton.
“Tetapi kalau mahu buat konsert profesional yang besar dengan pelbagai penaja, saya setuju perlu ada album dahulu. Sebab apa, penonton perlu menyanyikan beberapa lagu, tidak mungkin konsert dua jam tetapi lagu hanya ada satu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Fadhilah berkongsi perkara berkenaan ketika diminta mengulas kenyataan komposer dan penyanyi, Ajai, yang mengatakan bahawa setiap penyanyi yang mahu membuat konsert perlu memiliki setidak-tidaknya satu album.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Dawai itu turut memberitahu bahawa penyanyi yang belum memiliki album supaya tidak mudah berputus asa untuk terus berkarya.
Dua sendiri membuktikan perkara itu apabila berjaya menganjurkan konsert bersifat intim atau skala yang kecil di dua lokasi berbeza sebelum ini.
“Jadi, mereka yang belum ada album jangan berkecil hati, saya sendiri belum ada album tetapi sempat buat konsert berskala kecil dan hasilnya sangat baik. Saya buat di Jakarta dan Surabaya, malah di Jakarta saya bawa Aina Abdul dan Kak Barsena Bestandhi sebagai penyanyi jemputan,” katanya.
The post Tidak perlu tunggu ada album untuk buat konsert berskala kecil – Fadhilah Intan appeared first on Utusan Malaysia.





