[TIDAK RASMI] 'Saya tak menyesal, mungkin report card saya masih kurang' - Aminuddin

LocalPolitics
1 Aug 2026 • 10:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [TIDAK RASMI] 'Saya tak menyesal, mungkin report card saya masih kurang' - Aminuddin
Aminuddin (kiri) ketika sidang akhbar di Command Centre PH pada Sabtu.

SEREMBAN - Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menerima kekalahannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan hati yang terbuka.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu turut menyifatkan bahawa 'report card' beliau sepanjang lapan tahun memimpin kerajaan negeri masih kurang.

"Saya terima apa juga keputusan dan saya telah katakan seawal kita bubarkan DUN, saya serahkan kepada rakyat. Selepas itu dalam kempen pun saya katakan saya hantar 'report card' kepada mereka, mungkin 'report card' saya masih kurang lagi.

"Jadi saya tak ada masalah bagi saya, ini biasa dalam politik, ada kalah, ada menang dalam pertandingan," katanya dalam sidang akhbar di Command Centre PH di sini pada Sabtu.

Terdahulu, dua pemimpin besar PH tewas pada PRN Negeri Sembilan iaitu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang gagal mempertahankan kerusi DUN yang disandangnya sejak 2008 manakala Aminuddin kalah di DUN Linggi.

Dalam pada itu menurut Aminuddin, keputusan berkenaan tidak mengubah pendiriannya kerana matlamat utama beliau adalah mendidik masyarakat, khususnya golongan muda, supaya menilai prestasi dan dasar kerajaan berbanding sentimen perkauman.

"Alhamdulillah beri peluang saya selama lapan tahun untuk saya berada di kerusi ini dan saya rasa sudah cuba buat terbaik. Mungkin ada kelemahan, saya akui.

"Apa yang penting bagi saya bukannya kalah menang, tetapi saya katakan tadi bahawa saya tak pernah menyesal. Saya rasa syukur saya dapat didik kebahagian anak bangsa. Saya tak akan rasa kecewa," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Aminuddin berkata, beliau mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

Menurutnya, buat masa ini beliau akan berehat seketika sebelum kembali aktif membantu parti, termasuk dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

"Saya sudah cakap banyak kali, saya terima dan reda dengan apa yang berlaku. Insya-ALLAH ada hikmahnya. Mungkin ini peluang untuk saya meluangkan lebih banyak masa bersama anak dan cucu.

"Saya akan fikirkan apa yang perlu saya lakukan untuk parti pada masa akan datang. Buat masa ini saya berehat seketika dan selepas itu akan bekerja keras. Insya-ALLAH saya merancang untuk membantu PRN Melaka," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved