
SEREMBAN: Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun atau lebih dikenali sebagai Tok Min mengakui prestasi pentadbirannya sepanjang menerajui negeri itu masih belum mencapai tahap yang diharapkan.
Beliau berkata, sejak awal lagi beliau tidak pernah menyembunyikan hakikat bahawa ‘kad laporan’ pentadbirannya masih mempunyai kekurangan dan belum memuaskan sepenuhnya.
“Saya dari awal lagi cakap kepada rakyat, kad laporan saya masih kurang, mungkin tidak cukup lagi. Ini perkara biasa dalam politik (menang kalah).
“Namun, saya berpuas hati kerana dapat mendidik rakyat daripada politik perkauman. Ada perkembangan yang baik dan saya tidak menyesal dengan usaha itu. Saya mahu rakyat berubah daripada terus dimomokkan dengan isu-isu perkauman,” katanya dalam sidang akhbar di Klana Resort Hotel, di sini malam ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, meskipun tidak lagi diberi mandat mentadbir, keputusan pilihan raya menunjukkan jurang kekalahan tidak besar sekali gus membuktikan usaha yang dilaksanakan mendapat sokongan sebahagian besar rakyat.
“Kalau kalah pun, margin undi tidak banyak. Bagi saya, kita berjaya memberikan didikan kepada rakyat. Yang penting ialah apa yang telah kita laksanakan dan rakyat perlu berfikir tentang apa yang mereka benar-benar mahukan untuk masa depan,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya kerajaan dapat melaksanakan tugas dengan baik di peringkat Persekutuan, pendekatan tersebut wajar diteruskan ke seluruh negara demi membentuk landskap politik yang lebih matang.
“Saya bersyukur, Alhamdulillah, sepanjang lapan tahun berada di kerusi ini, saya cuba memberikan yang terbaik. Sudah tentu ada kelemahan dan saya akui perkara itu. Namun saya yakin rakyat Malaysia perlu berfikir apakah bentuk masa depan yang mahu mereka lihat,” katanya.
Dalam pada itu, Tok Min turut menitipkan pesanan kepada Menteri Besar yang baharu supaya meneruskan segala usaha yang membawa manfaat kepada rakyat dan negeri.
“Buatlah yang baik dan teruskan. Saya tidak akan kecewa. Jagalah negeri ini dan pastikan pentadbirannya menjadi lebih baik. Itu sahaja yang saya harapkan,” katanya. – UTUSAN
The post Tok Min akui prestasi belum memuaskan, ucap tahniah kepada Tok Mat appeared first on Utusan Malaysia.






