Tiga peserta Himpunan RXZ maut di LPT1 dalam tempoh dua hari

1 Aug 2026 • 6:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiga peserta Himpunan RXZ maut di LPT1 dalam tempoh dua hari

TEMERLOH: Perjalanan tiga penunggang motosikal untuk menyertai Himpunan RXZ Members 8.0 di Kuala Terengganu berakhir dengan tragedi apabila mereka maut dalam tiga kemalangan berasingan di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di Temerloh dan Maran dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Rangkaian nahas yang berlaku sejak lewat malam kelmarin hingga pagi semalam, me­ngorbankan seorang penunggang di Temerloh dan dua lagi di Maran, sekali gus mengundang kebimbangan terhadap aspek keselamatan perjalanan peserta yang berkonvoi ke perhimpunan motosikal berkenaan.

Mangsa pertama ialah Muhammad Zulhairi Azhar Mohd. Shahrizan, 19, dari Kampung Sungai Udang, Klang, Selangor yang maut selepas tercampak ke lorong kanan sebelum dirempuh sebuah Perodua Myvi di Kilometer 112.3 LPT1 arah Kuantan, kira-kira pukul 11 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Na­syim Bahron berkata, mang­sa yang menunggang Yamaha LC135 dipercayai gagal mengawal motosikal sebelum terbabas dan terjatuh di lorong kiri lebuh raya.

Menurut beliau, mangsa kemudian tercampak ke lorong kanan sebelum sebuah Perodua Myvi yang dipandu wanita berusia 23 tahun gagal mengelak lalu melanggarnya.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak semula ke bahu jalan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang da­lam perjalanan dari Klang ke Kuala Terengganu bersama empat lagi rakan bagi menghadiri Himpunan RXZ Members 8.0.

Mohd. Nasyim berkata, pe­meriksaan turut mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu motosikal yang sah, sebaliknya hanya mempunyai lesen memandu kelas D bagi motokar.

Beberapa jam kemudian, tragedi kedua berlaku di daerah Maran apabila Mohd. Fauzi Othman, 44, maut selepas motosikal Yamaha 125ZR yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 184.9 LPT1 berhampiran susur keluar Plaza Tol Sri Jaya menghala ke Gambang pada pukul 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur me­nuju Kuala Terengganu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan mangsa mengawal motosikal yang ditungganginya, manakala punca sebenar masih dalam siasatan.

Belum sempat suasana duka reda, satu lagi kemalangan maut berlaku kira-kira empat jam kemudian di Kilometer 147.1 LPT1 arah Kuantan apabila seorang lagi peserta, Muhamad Fikri Jamallunasi, 34, maut selepas motosikal Yamaha Y125ZR yang ditungganginya merempuh bahagian belakang sebuah Mitsubishi Triton yang berhenti di lorong kecemasan.

Menurut Wong, pacuan empat roda itu berhenti bagi membantu sebuah motosikal ahli konvoi yang mengalami kerosakan sebelum mangsa datang dari arah belakang lalu melanggar bahagian belakang kanan kenderaan tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu serta penumpang Mitsubishi Triton tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini polis masih mengesan saksi bagi membantu siasatan berhubung kedua-dua kemalangan yang berlaku di daerah Maran.

Kesemua kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Rentetan tiga nahas itu, polis menasihatkan semua penunggang motosikal, khususnya mereka yang menyertai konvoi jarak jauh, supaya memastikan motosikal berada dalam keada­an baik, mempunyai lesen memandu yang sah, mematuhi had laju, menjaga jarak selamat serta mengelakkan menunggang dalam keadaan letih bagi me­ngurangkan risiko kemalangan.

Tragedi yang meragut tiga nyawa dalam tempoh singkat itu menjadi peringatan bahawa keterujaan menghadiri sesuatu program tidak seharusnya mengatasi aspek keselamatan sepanjang perjalanan. – UTUSAN

The post Tiga peserta Himpunan RXZ maut di LPT1 dalam tempoh dua hari appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved