
KAJANG – Tidak sampai 24 jam video memaparkan kewujudan sebuah reban ayam yang berselindung di sebalik pusat cuci kereta haram disiarkan Kosmo!, struktur terbabit dirobohkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam operasi penguatkuasaan di Persiaran Tun Perak di sini kelmarin.
Video yang dimuat naik di platform media sosial Kosmo! pada Rabu lalu itu dikongsikan penduduk kawasan berkenaan selepas curiga dengan bau busuk di kawasan berkenaan.
Sangkaan mereka bau yang dihidu berpunca daripada longkang sebelum terbongkar kegiatan menternak ratusan ayam secara haram di belakang pusat cuci kereta tanpa lesen itu.
Tinjauan mendapati, kedudukan reban yang tersorok di belakang kanvas, papan penghadang dan semak samun serta bunyi kenderaan di jalan utama menyebabkan penduduk langsung tidak menyedari kewujudan ratusan ekor ayam yang dipelihara di situ.
Timbalan Pengerusi Persatuan Komuniti Tun Perak, Abdul Manaf Abu Seman berkata, penduduk sering menghidu bau busuk dari kawasan tersebut, namun menganggap ia berpunca daripada longkang berhampiran.
“Kami memang tahu kawasan ini dijadikan car wash (pusat cuci kereta) haram. Kalau bukan sebab video itu tular, mungkin sampai sekarang kami tidak tahu apa yang berlaku di belakang kawasan tersebut.
“Daripada keadaan ayam yang sudah besar, kami percaya aktiviti itu sudah berjalan agak lama,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Abdul Manaf berkata, dia sebelum ini pernah membuat aduan kepada MPKj berhubung operasi pusat cuci kereta haram di kawasan berkenaan sekitar tahun lalu, namun pengusaha dipercayai kembali beroperasi selepas dikenakan kompaun.
“Dulu MPKj datang, mereka keluarkan kompaun dan selepas itu mereka beredar. Tidak lama kemudian, operasi dibuka semula.
“Saya harap selepas ini pihak berkuasa membuat pemantauan berkala supaya kawasan ini tidak lagi diceroboh untuk menjalankan aktiviti haram,” katanya.
Dia turut mencadangkan supaya kawasan tersebut dipagar atau dipasang penghadang bagi mengelakkan ia dijadikan lokasi kegiatan haram pada masa hadapan.
Sementara itu, hasil tindakan pantas MPKj kelmarin, struktur haram pusat cuci kereta serta reban ayam di kawasan berkenaan dirobohkan dan dibersihkan, sekali gus menamatkan kegiatan yang dipercayai beroperasi secara tersembunyi hampir dua tahun.
The post Tak sampai 24 jam Kosmo! siar, reban ayam haram diroboh appeared first on Kosmo Digital.






