
BEAUFORT: Tiga anggota polis maut selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba menjolok buah kelapa di hadapan Balai Polis Weston, di sini, pada Khamis. Dua daripada mangsa berasal dari Kelantan, manakala seorang lagi dari Sarawak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Weston, Ishak Jabas mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 5.56 petang sebelum mengerahkan tujuh anggota bersama beberapa jentera ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati ketiga-tiga anggota polis itu telah meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik,” katanya.
Beliau berkata mangsa ditemui terbaring di atas tanah dengan kesan lecur yang teruk akibat renjatan elektrik.
Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Sabah Electricity turut berada di lokasi kejadian. Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat.



