Tiga beranak didakwa dera budak lelaki hingga cedera

20 Oct 2026 • 11:53 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tiga beranak didakwa dera budak lelaki hingga cedera

KLANG – Tiga beranak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal, November tahun lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, K. Asha Nanthini, 37, adiknya, Theveinthiran, 34, dan ibu mereka, P. Sivadevi, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Nur Shafrida Hashim.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan niat bersama menganiaya kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ketika kejadian sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa yang berada di bawah pemeliharaan mereka

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Sri Andalas di sini, kira-kira pukul 3 petang pada 5 November tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali, sekiranya disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh bersama seorang penjamin dan syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, Peguam V. Pushparajan merayu jaminan minima sebanyak RM10,000 secara keseluruhan untuk semua tertuduh.

Katanya, ketiga-tiga tertuduh merupakan ahli keluarga yang tinggal bersama di alamat tetap sejak 23 tahun lalu.

“Mereka sedia mematuhi semua arahan termasuk tidak mengganggu saksi mangsa dan saksi pendakwaan,” jelasnya.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM4,000 bagi setiap tertuduh bersama seorang penjamin selain membenarkan syarat tambahan pendakwaan.

Sebutan semula pada 1 Disember ini. – KOSMO! ONLINE

The post Tiga beranak didakwa dera budak lelaki hingga cedera appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved