Tiga beranak maut: JIM siasat pematuhan SOP, keselamatan operasi kenderaan

19 Aug 2026 • 12:27 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tiga beranak maut: JIM siasat pematuhan SOP, keselamatan operasi kenderaan

PETALING JAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menjalankan siasatan dalaman terhadap aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan keselamatan pengoperasian kenderaan jabatan susulan kemalangan maut di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, langkah itu bagi memastikan perkara berhubung kejadian berkenaan diteliti secara menyeluruh.

Menurutnya, JIM memandang serius insiden membabitkan sebuah kenderaan milik jabatan itu yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan.

Katanya, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa serta siasatan dalaman jabatan.

“Dalam masa sama, JIM menyerahkan siasatan berhubung punca dan keadaan sebenar kejadian kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Jabatan menghormati proses siasatan yang sedang berlangsung dan tidak akan membuat sebarang kesimpulan yang boleh mendahului hasil siasatan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JIM turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan pihak berkuasa.

Orang ramai pada masa sama diminta menghormati privasi dan sensitiviti keluarga mangsa serta tidak menyebarkan gambar, rakaman atau maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

JIM turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa serta mendoakan mangsa yang sedang menerima rawatan diberikan kesembuhan.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan tiga sekeluarga iaitu seorang lelaki berusia 53 tahun serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun maut selepas dirempuh lori JIM dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail kira-kira pukul 1 pagi.

Siasatan awal polis mendapati lori Isuzu Black Maria milik JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu terbabit dalam perlanggaran dengan sebuah Proton Saga sebelum hilang kawalan dan merempuh empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah Inokom Matrix.

Seorang wanita berusia 55 tahun yang juga isteri kepada mangsa lelaki dan ibu kepada dua mangsa perempuan terselamat namun mengalami kecederaan di kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki sebelum dihantar ke Zon Merah Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

The post Tiga beranak maut: JIM siasat pematuhan SOP, keselamatan operasi kenderaan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved