Tiga bom mortar ditemukan dalam tong ‘roro’

3 Oct 2026 • 4:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiga bom mortar ditemukan dalam tong ‘roro’

SEPANG: Tiga objek disyaki bom mortar ditemukan seorang lelaki ketika mengasingkan barangan besi buruk daripada sebuah tong ‘roro’ di sebuah rumah di Kampung Dato Ahmad Razali, Dengkil, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihak polis menerima laporan berhubung penemuan objek berkenaan kira-kira pukul 3 petang semalam.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis dihantar ke lokasi berkenaan dan kawalan dilakukan bagi memastikan keselamatan orang awam.

“Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia turut hadir untuk menjalankan pemeriksaan dan tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati objek berkenaan terdiri daripada tiga bom mortar iaitu satu butir bom berukuran 81 milimeter (mm) dan dua butir bom berukuran 60mm.

Norhizam berkata, kesemua objek tersebut kemudian dialihkan oleh UPB ke lokasi selamat untuk tindakan pemusnahan.

“Kira-kira pukul 9.20 pagi tadi, UPB telah menjalankan kerja-kerja pemusnahan terhadap ketiga-tiga bom tersebut di sebuah tapak lapang pembinaan di Dengkil.

“Kerja-kerja pemusnahan selesai pada pukul 9.25 pagi dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya.

Norhizam berkata, tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan dalam kerja-kerja pemusnahan tersebut.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyentuh, mengalih atau menghampiri sebarang objek yang disyaki bahan letupan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya segera menghubungi pihak polis sekiranya menemui objek sedemikian,” katanya. – UTUSAN

The post Tiga bom mortar ditemukan dalam tong ‘roro’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved