SEPANG - Tiga objek disyaki bom mortar telah dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) di sebuah tapak lapang pembinaan di Dengkil, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, kerja-kerja pemusnahan itu dilakukan kira-kira jam 9.20 pagi dan selesai lima minit kemudian dalam keadaan selamat serta terkawal.
Menurut beliau, ketiga-tiga bom berkenaan sebelum itu ditemui seorang lelaki ketika mengasingkan barangan besi buruk daripada sebuah tong roro di kawasan luar sebuah rumah di Kampung Dato Ahmad Razali, Dengkil, pada Jumaat.
"Pada 2 Oktober 2026 kira-kira jam 3 petang, pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang menemui tiga objek disyaki bom mortar.
"Susulan maklumat itu, sepasukan anggota polis dihantar ke lokasi dan kawalan dilakukan bagi memastikan keselamatan orang awam," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang pemandu lori Roll On Roll Off (roro) tidak menyangka bungkusan barangan yang dipungut daripada kutipan sampah di Sungai Balak, Kajang berisi tiga butir menyerupai bom mortar pada Jumaat.
Lebih mengejutkan, bungkusan itu tidak disedari pemandu lori itu hingga membawanya pulang ke rumah di Kampung Dato' Ahmad Razali di sini.
Mengulas mengenai kejadian itu, Norhizam berkata, UPB turut hadir ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan dan tindakan lanjut.
"Hasil pemeriksaan mendapati objek berkenaan terdiri daripada tiga bom mortar iaitu satu butir bom berukuran 81 milimeter (mm) dan dua butir bom berukuran 60mm.
"Kesemua objek kemudian dialihkan oleh UPB ke lokasi selamat untuk tindakan pemusnahan," katanya.
Beliau berkata, kerja-kerja pemusnahan dilakukan di sebuah tapak lapang pembinaan di Dengkil pada jam 9.20 pagi Sabtu dan selesai pada jam 9.25 pagi.
"Tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan sepanjang operasi berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyentuh, mengalih atau menghampiri sebarang objek yang disyaki bahan letupan.
"Orang ramai diminta segera menghubungi pihak polis sekiranya menemui objek sedemikian bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil," katanya.






