Tiga Individu Jadi Suspek, Nombor Telefon Prabowo Didakwa Dipintas Secara Haram

WorldPolitics
4 Nov 2026 • 7:13 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Tiga Individu Jadi Suspek, Nombor Telefon Prabowo Didakwa Dipintas Secara Haram

JAKARTA: Polis Indonesia menetapkan tiga individu sebagai suspek dalam siasatan kes pemintasan komunikasi secara haram yang didakwa turut menyasarkan nombor telefon Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

Ketua Badan Reserse Jenayah (Bareskrim) Polis Republik Indonesia (Polri), Komjen Asep Safrudin, berkata ketiga-tiga individu itu dikenal pasti menerusi inisial LSP, ASN dan EH selepas pihaknya mengumpulkan bukti serta menjalankan pemeriksaan terhadap beberapa saksi.

Menurutnya, seorang lagi individu berinisial SU masih disiasat sebagai saksi dalam kes berkenaan.

Beliau berkata, kegiatan pemintasan komunikasi itu turut didakwa menyasarkan nombor telefon beberapa penjawat awam, tokoh politik, pengamal media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli perniagaan.

Perkara itu didedahkan dalam sidang media di Jakarta pada Selasa, 3 November.

Nombor Telefon Dimasukkan Ke Dalam Sistem Tanpa Kebenaran

Menurut Asep, siasatan mendapati beberapa nombor telefon dimasukkan ke dalam sistem Lawful Interception Management System (LIMS) tanpa melalui prosedur pengesahan yang ditetapkan.

Kegiatan itu didakwa dilakukan tanpa permohonan rasmi daripada pihak penyiasat, dokumen laporan polis atau kaitan dengan sebarang proses penguatkuasaan undang-undang.

Perbuatan berkenaan dipercayai melanggar prosedur pemintasan komunikasi yang ditetapkan menerusi Peraturan Ketua Polis Indonesia (Perkap) Nombor 5 Tahun 2010.

Asep turut mendakwa terdapat usaha memadamkan fail hasil pemintasan komunikasi serta rekod aktiviti sistem berkenaan pada Oktober 2026 bagi menghapuskan bukti kegiatan itu.

Polis Rampas 11 Telefon Bimbit, Sebuah iPad

Dalam perkembangan sama, Bareskrim sudah mengambil keterangan daripada 10 saksi dan tiga saksi pakar bagi membantu siasatan.

Polis turut merampas 11 telefon bimbit, sebuah iPad dan empat pemacu USB untuk dijadikan bahan bukti.

Siasatan bermula selepas pihak berkuasa menerima maklumat mengenai pencerobohan sistem serta pemadaman data tanpa kebenaran pada penghujung Oktober 2026.

Laporan polis berhubung perkara itu dibuat pada 30 Oktober lalu oleh seorang individu yang mengetahui kegiatan berkenaan.

Disiasat Mengikut Beberapa Peruntukan Undang-Undang

Asep berkata, ketiga-tiga suspek disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang Indonesia, termasuk Kanun Keseksaan menerusi Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023 dan Undang-Undang Maklumat dan Transaksi Elektronik (ITE).

Antara peruntukan yang digunakan ialah Perkara 258, Perkara 332 ayat (1) dan (2) Kanun Keseksaan serta Perkara 32 ayat (1) Undang-Undang ITE.

Kesalahan berkenaan memperuntukkan hukuman berbeza, termasuk hukuman penjara sehingga 10 tahun bagi kesalahan tertentu berkaitan pemintasan komunikasi tanpa hak.

Bagaimanapun, ketiga-tiga individu itu masih berstatus suspek dan belum disabitkan dengan sebarang kesalahan oleh mahkamah. – The Malaysian Update

The post Tiga Individu Jadi Suspek, Nombor Telefon Prabowo Didakwa Dipintas Secara Haram appeared first on The Malaysian Update.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved