
KLANG – Tiada bahan letupan ditemukan di sebuah rangkaian pasar raya di Jalan Kapar di sini selepas pemeriksaan hampir tiga jam susulan e-mel ugutan bom, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengurus stor lelaki kira-kira pukul 4.04 petang tadi selepas menerima e-mel berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan menyeluruh kemudiannya dilakukan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Pertahanan Awam Klang.
“Hasıl pemeriksaan dijalankan hampir 3 jam tidak menemui sebarang bahan letupan mahupun peranti yang mencurigakan seperti yang dinyatakan dalam e-mel.
“Kes disiasat di mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas kesalahan menakutkan secara jenayah melalui komunikasi tanpa nama. Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum sehingga penjara sehingga dua tahun,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Sehubungan itu, Ramsay mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan e-mel atau sebarang bentuk komunikasi untuk menyebarkan maklumat yang boleh mengancam ketenteraman awam serta menimbulkan ketakutan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Fazlan Rezza Mazlan menerusi talian 011-1056 1017 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-3291 9614 atau balai polis berhampiran,” jelasnya.
Terdahulu, tular hantaran di aplikasi Thread berhubung penutupan keseluruhan bangunan sebuah pasar raya yang dikaitkan dengan ancaman bom sehingga mencetuskan kebimbangan pengunjung. – KOSMO! ONLINE
The post Tiga jam cari bom namun tak jumpa appeared first on Kosmo Online.




![[KEMASKINI] 10 kawasan di JB ‘blackout’, pencawang TNB terbakar](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-16-at-20.12.46-e1792152855683-1024x679.jpeg)

