Tiga laporan polis dibuat terhadap dakwaan Abdul Hadi

LocalPolitics
6 Sep 2026 • 10:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiga laporan polis dibuat terhadap dakwaan Abdul Hadi
Abdul Hadi

KUALA LUMPUR - Tiga laporan polis dibuat pada Ahad berhubung kenyataan Presiden Pas merangkap Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia pada 2014.

Laporan itu dibuat oleh Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bandar Tun Razak, V Jonathan; Ketua Wanita PKR Cabang Bandar Tun Razak, Mazlina Osman dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bandar Tun Razak, Amarul Hisham Jalil di Balai Polis Cheras di sini.

Jonathan berkata, laporan itu dibuat susulan kenyataan Abdul Hadi ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas ke-70 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan pada Sabtu yang dilaporkan oleh sebuah portal berita.

Beliau berkata, Abdul Hadi mendakwa beberapa pemimpin Pas pernah dijemput mengadakan pertemuan dengan Kedutaan AS ketika Presiden Barack Obama melawat Malaysia pada 2014, dengan pihak asing didakwa menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan ketika itu.

"Antara yang dikatakan hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Mustafa Ali bersama-sama Duta Amerika Syarikat ketika itu,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.

Jonathan berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan laporan berkenaan adalah bagi memastikan sebarang dakwaan berkaitan cubaan menggulingkan atau melemahkan kerajaan serta sistem demokrasi berparlimen melalui cara yang tidak berperlembagaan dapat disiasat mengikut lunas undang-undang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung perkara tersebut pada kira-kira 5 petang.

"Saya sedang menyemak jumlah laporan serta balai polis tempat laporan berkenaan dibuat.

"Laporan tersebut bagaimanapun akan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju,” katanya. - Bernama

 

 

 

 

 

TAG: laporan, polis, Keadilan, PAS, Hadi Awang

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved