Tiga lelaki ditahan selepas pecut lawan arus di Linkedua

27 Oct 2026 • 11:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiga lelaki ditahan selepas pecut lawan arus di Linkedua
Video tular memaparkan aksi sebuah Perodua Alza melarikan diri daripada pemeriksaan polis sebelum memasuki Lebuhraya Linkedua secara melawan arus di Iskandar Puteri, awal pagi Selasa.

ISKANDAR PUTERI – Tiga lelaki termasuk dua warga Filipina ditahan selepas melarikan diri daripada pemeriksaan polis sebelum memasuki Lebuhraya Linkedua secara melawan arus, awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu berlaku ketika anggota Unit Kereta Peronda (MPV) menjalankan rondaan pencegahan jenayah di Jalan Persiaran SILC, Gelang Patah.

“Anggota polis mengesan sebuah kereta Perodua Alza dinaiki empat lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkan kenderaan itu berhenti untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun, pemandu bertindak memecut dan melarikan diri sehingga memasuki Lebuhraya Linkedua secara melawan arus sebelum meninggalkan kenderaan di Jalan Suria 2, Masai,” katanya dalam kenyataan pada malam Selasa.

Beliau berkata, hasil operasi dijalankan, tiga suspek berjaya ditahan manakala seorang lagi masih diburu.

“Pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan satu alat pemotong kabel dan tiga telefon bimbit yang dirampas bersama kereta berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mempunyai niat untuk mencuri kabel,” katanya.

Radin Ramlan berkata, hasil saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Jelas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan suspek yang melarikan diri serta mengenal pasti kemungkinan penglibatan mereka dalam kegiatan jenayah lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved