Remaja 14 tahun antara 45 ditahan kes serangan pusat hiburan

LocalPolitics
8 Apr 2026 • 4:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kesemua suspek ditahan berusia antara 14 hingga 57 tahun dan majoritinya warga tempatan. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang remaja berusia 14 tahun antara 45 individu yang diberkas polis susulan serangan sekumpulan lelaki bertopeng di sebuah pusat hiburan di Cheras, Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, daripada keseluruhan tangkapan, dua individu dikenal pasti masih berstatus pelajar sekolah.

"Perkara itu amat membimbangkan kerana golongan remaja turut direkrut untuk terlibat dalam kegiatan jenayah ganas.

"Daripada 45 tangkapan, terdapat dua pelajar sekolah yang telah direman, ini menunjukkan kumpulan ini merekrut pelajar untuk terlibat dalam kegiatan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Rabu.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia antara 14 hingga 57 tahun dan majoritinya warga tempatan.

"Sebahagian daripada mereka ditahan lebih awal dan sebahagian lagi diberkas dalam operasi susulan yang dijalankan secara agresif,” katanya.

Fadil berkata, pihaknya turut merampas sebuah lori yang digunakan untuk merempuh pagar premis serta beberapa kenderaan lain.

"Polis juga merampas senjata seperti kayu besbol dan kayu yang digunakan untuk merosakkan premis tersebut,” katanya.

Menurut beliau, siasatan masih diteruskan bagi mengesan saki-baki suspek termasuk dalang utama kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial memaparkan kumpulan terbabit merempuh pagar menggunakan lori sebelum menceroboh masuk ke premis berkenaan.