Tiga lokasi warisan di Pulau Pinang dibuka percuma dua hari bermula esok

14 Sep 2026 • 3:36 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Tiga lokasi warisan di Pulau Pinang dibuka percuma dua hari bermula esok

Tiga lokasi warisan di Pulau Pinang dibuka percuma selama dua hari sempena Hari Malaysia dan ulang tahun kelima pengiktirafan UNESCO

GEORGE TOWN: Tiga lokasi warisan di Pulau Pinang dibuka percuma selama dua hari bermula esok sempena sambutan ulang tahun kelima pengiktirafan Bukit Bendera sebagai Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta Hari Malaysia. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata inisiatif yang melibatkan Galeri Automotif Muzium Negeri Pulau Pinang, Kota Cornwallis dan Muzium Negeri Pulau Pinang itu bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotisme.

“Orang ramai dan pelancong dari dalam serta luar negara dialu-alukan untuk mengambil peluang ini bagi menjejaki sejarah, menghayati warisan dan mengenali dengan lebih dekat sejarah Pulau Pinang selain menerokai kekayaan serta kepelbagaian budaya Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wong berkata inisiatif itu juga bertujuan menjadikan sambutan Hari Malaysia bukan sekadar cuti umum, tetapi sebagai pengalaman pendidikan budaya dan penghayatan warisan dengan berkunjung ke bangunan bersejarah, menghayati khazanah dan koleksi budaya serta mengenali perkembangan sistem pengangkutan di negeri itu.

Beliau berkata orang ramai bukan sahaja dapat memahami dengan lebih mendalam sejarah negeri, malah dapat melihat bagaimana perubahan sesebuah bandar mencerminkan perjalanan sejarah Malaysia yang dibentuk oleh kepelbagaian budaya, interaksi masyarakat serta kehidupan yang berkembang secara bersama.

Wong berkata tempoh kemasukan percuma bagi Galeri Automotif Muzium Negeri Pulau Pinang dan Kota Cornwallis dilanjutkan sehingga Oktober yang akan memberikan lebih banyak masa kepada orang ramai untuk berkunjung ke situ.

Selain itu, beliau menggalakkan orang ramai memanfaatkan cuti Hari Malaysia dengan berkunjung ke George Town, Tapak Warisan Dunia UNESCO menerusi perjalanan yang menggabungkan sejarah, warisan, makanan dan pengalaman bandar.

“Pengunjung boleh memulakan perjalanan di Kota Cornwallis sebelum ke Astaka Kota Selera untuk menikmati pelbagai juadah tempatan dan seterusnya berjalan kaki merentasi Padang Kota Lama sebelum singgah bergambar di hadapan City Hall dan Town Hall.

“Mereka boleh meneruskan perjalanan ke Muzium Negeri untuk melihat koleksi, artifak dan bahan sejarah yang merakam kepelbagaian budaya, perkembangan masyarakat serta perjalanan sejarah Pulau Pinang sebelum ke destinasi akhir Galeri Automotif Muzium Negeri untuk mengetahui perkembangan sistem pengangkutan di negeri ini,” katanya.

Wong berkata inisiatif itu membuka peluang lebih luas untuk mendekati khazanah sejarah serta budaya Pulau Pinang melalui pengalaman yang turut menggabungkan aspek pendidikan, membolehkan pengunjung memahami dan menghargai sejarah serta kepelbagaian budaya di Malaysia yang menjadi kekuatan bersama.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved