Tiga pegawai kanan Dataprep letak jawatan ketika kerugian meningkat dan pemegang saham utama kurangkan pegangan

LocalBusiness & Finance
2 Nov 2026 • 5:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tiga pegawai kanan Dataprep letak jawatan ketika kerugian meningkat dan pemegang saham utama kurangkan pegangan Image from: Tiga pegawai kanan Dataprep letak jawatan ketika kerugian meningkat dan pemegang saham utama kurangkan pegangan johardy02/11/2026 - 17:43 Dari kiri, Datuk Syahril Yusri Abdul Aziz; Razina Abd Rashid dan Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Nov - Dataprep Holdings Berhad menyaksikan peletakan jawatan tiga pemimpin kanan termasuk Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangannya dalam tempoh tujuh hari, ketika syarikat teknologi itu mencatatkan kerugian yang semakin meningkat dan seorang pemegang saham utama mengurangkan pegangannya.

 

Ketua Pegawai Kewangan, Razina Abd Rashid, 53, meletakkan jawatan pada 2 November 2026, manakala Pengarah Eksekutif, Datuk Syahril Yusri Abdul Aziz, 54, berundur pada 31 Oktober lalu, menurut pemakluman berasingan kepada Bursa Malaysia.

 

Kedua-dua peletakan jawatan itu menyusuli pengunduran Pengerusi Eksekutif, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak, 54, pada 27 Oktober lalu.

 

Ketiga-tiga mereka memberikan alasan peribadi dan memaklumkan tiada perselisihan pendapat dengan lembaga pengarah atau perkara yang perlu dibawa kepada perhatian pemegang saham.

 

Dataprep mencatatkan kerugian bersih belum diaudit yang boleh diagihkan kepada pemegang saham sebanyak RM27.49 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, berbanding RM9.39 juta bagi tempoh perbandingan sebelumnya, manakala hasil merosot kepada RM4.77 juta daripada RM11.75 juta.

 

Syarikat itu turut mencadangkan penempatan persendirian sehingga 10% daripada jumlah saham terbitannya bagi mendapatkan pembiayaan tambahan, dengan potensi kutipan sehingga RM5.95 juta.

 

Pemegang saham utama kurangkan pegangan

Sementara itu, pemegang saham utama, Datuk Wira Shamshuri Abdul Majid, mencatatkan pengurangan bersih sebanyak 6.93 juta saham menerusi tujuh urus niaga antara 12 hingga 22 Oktober lalu.

 

Menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia pada 23 Oktober, Shamshuri melupuskan 25.85 juta saham sebelum memperoleh 18.92 juta saham, menjadikan baki pegangannya sebanyak 56.97 juta saham atau 6.625% kepentingan langsung dalam Dataprep.

 

Tiada maklumat dalam pengumuman berkenaan yang mengaitkan urus niaga saham itu dengan prestasi kewangan syarikat atau peletakan jawatan tiga pemimpin kanannya.

 

Perubahan kepimpinan bermula lebih awal

Perubahan terbaharu itu menyusuli beberapa peletakan jawatan dalam lembaga pengarah sebelum ini, termasuk pengarah bebas Masdi Mustapha pada Julai dan Zuryati Sopian pada Ogos, serta Pengarah Eksekutif Abd Rahman Md Dawi pada Ogos lalu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Dataprep umum Rashwin Thind Gurmit Singh sebagai CEO, Pengarah Eksekutif baharu

 

Dataprep turut melantik Rashwin Thind Gurmit Singh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 3 Ogos lalu, manakala Syahril Yusri ditukar jawatan daripada Ketua Pegawai Eksekutif kepada Pengarah Eksekutif sebelum meletakkan jawatan pada 31 Oktober.

 

Ditubuhkan pada 1971, Dataprep menjalankan perniagaan utama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), termasuk penyepaduan sistem, perkhidmatan IT terurus dan penyelesaian infrastruktur teknologi kepada agensi kerajaan serta pelanggan sektor swasta.

 

Syarikat yang menjadi firma IT pertama disenaraikan di pasaran saham Malaysia pada 1991 itu turut menyediakan perkhidmatan penyelesaian pembayaran dan kini disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan kod saham DATAPRP. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved