amree22/10/2026 - 09:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Okt – Pegangan saham Pengarah Urusan Zetrix AI Berhad, Wong Thean Soon terus merosot kepada 1.841% menjelang tarikh akhir bagi syarikat itu menangani pelanggaran syarat kovenan sukuk yang mewajibkan beliau kekal sebagai pemegang saham terbesar.
Perkembangan itu menambah tekanan terhadap syarikat perkhidmatan digital berkenaan, yang berdepan risiko kewajipan pembayaran balik awal sukuk bernilai RM2 bilion sekiranya pelanggaran tersebut gagal diselesaikan dan pemegang sukuk tidak meluluskan pengecualian.
Berdasarkan makluman kepada Bursa Malaysia, beliau yang turut dikenali sebagai TS Wong, melupuskan sejumlah 460,000 saham kumpulan berkenaan pada 20 Oktober 2026 dengan harga lima sen sesaham, melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM23,000.
Pelupusan terbaharu itu berlaku ketika Zetrix AI berdepan cabaran kewangan dan operasi, termasuk keputusan menarik balik cadangan dividen interim, komitmen hutang yang besar serta isu kutipan hasil yang melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pegangan secara langsung Wong kini susut kepada 0.541%, bersamaan 42.72 juta saham, manakala syarikat pelaburannya, Asia Internet Holdings Sdn Bhd, memegang kira-kira 1.3% atau sebanyak 102.7 juta saham.
Jumlah pegangan kedua-duanya kini sebanyak 1.841%, jauh lebih rendah berbanding melebihi 30% sebelum kejatuhan mendadak harga saham pada akhir Ogos 2026 mencetuskan panggilan margin terhadap kemudahan pembiayaan bersandarkan sahamnya.

Sebelum ini, Wong memberitahu The Edge Malaysia bahawa pelupusan saham berkenaan bukan dilakukan secara sukarela. Beliau turut mempertimbangkan tindakan undang-undang berhubung dakwaan wujudnya pakatan sulit dan manipulasi harga saham.
Zetrix AI sebelum ini memaklumkan bahawa kumpulan itu perlu menangani pelanggaran kovenan sukuk selewat-lewatnya 22 Oktober 2026. Sekiranya gagal, kumpulan akan mendapatkan kelulusan pemegang sukuk bagi pengecualian daripada syarat berkenaan.
Tanpa pengecualian tersebut, pelanggaran itu berpotensi mencetuskan pembayaran balik awal prinsipal sukuk RM2 bilion serta bayaran kupon masa hadapan sebanyak RM164.5 juta, menjadikan jumlah pendedahan berpotensi sekitar RM2.16 bilion.
Dalam perkembangan berasingan, Zetrix AI pada 19 Oktober 2026 mengumumkan penarikan balik cadangan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 0.25 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026. Keputusan itu dibuat bagi memelihara modal kerja susulan perbelanjaan operasi luar jangka.
Kedudukan kewangannya turut menjadi perhatian apabila Zetrix AI merekodkan tunai RM541.6 juta dan aset digital RM532.88 juta, termasuk mata wang kripto, pada akhir Jun 2026. Kumpulan juga ada pinjaman RM2.19 bilion serta pemiutang perdagangan dan liabiliti terakru lain melebihi RM90 juta.
Selain itu, Zetrix AI mempunyai RM314 juta kutipan yang belum diserahkan kepada JPJ dan sedang disiasat pihak polis berhubung perkara tersebut. Saham syarikat itu susut setengah sen atau 9.09% kepada lima sen pada penutup dagangan 21 Oktober 2026, memberikan permodalan pasaran sekitar RM404 juta. - DagangNews.com






