johardy30/10/2026 - 18:35 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt - Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Enproserve Group Bhd, Hakimi Bahador meletakkan jawatan berkuat kuasa 31 Oktober 2026 selepas kira-kira lapan bulan memegang jawatan itu.
Enproserve dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Hakimi, 57, berundur atas sebab peribadi dan jawatan tersebut tidak akan diisi buat masa ini.
Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan akan mengambil alih tanggungjawab menyelia operasi kumpulan.
Menurut syarikat itu, pihak pengurusan menegaskan fungsi berkenaan akan terus dilaksanakan dengan berkesan oleh pasukan pengurusan sedia ada.
Enproserve turut memaklumkan tiada perselisihan antara Hakimi dengan lembaga pengarah dan tiada perkara berkaitan peletakan jawatannya yang perlu dibawa kepada perhatian pemegang saham.
Makluman peletakan jawatan itu turut menyatakan Hakimi memiliki kepentingan langsung sebanyak 2.084 juta saham biasa dalam Enproserve.
Mula memegang jawatan pada Mac 2026
Berdasarkan Laporan Tahunan 2025 Enproserve, Hakimi bertukar jawatan daripada Pengarah Turnaround kepada Ketua Pegawai Operasi Kumpulan pada 1 Mac 2026.
Beliau bertanggungjawab menyelia keseluruhan aspek operasi dan komersial bagi aktiviti penyelenggaraan loji serta kerja penyelenggaraan menyeluruh ketika operasi loji dihentikan sementara secara berjadual.
Hakimi menyertai anak syarikat kumpulan, EMSB pada Oktober 2019 sebagai Pengurus Besar Operasi sebelum dinaikkan pangkat kepada Ketua Pegawai Operasi pada 2022 dan menjadi Pengarah Turnaround pada 2023.
Beliau mempunyai pengalaman lebih 33 tahun dalam kejuruteraan mekanikal, penyelenggaraan loji serta pengurusan projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan. - DagangNews.com






