
LAHAD DATU: Polis menahan tiga pekerja sebuah stesen minyak kerana disyaki terlibat dalam empat transaksi Budi Madani yang dilakukan tanpa pengetahuan pemilik MyKad.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Polis (ACP) Dzulbaharin Ismail berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa kuota dieselBUDI MADANI miliknya telah digunakan tanpa kebenaran. Beliau berkata mangsa mendapati sebanyak empat transaksi melibatkan 43.01 liter diesel dilakukan di sebuah stesen minyak tanpa persetujuannya.
Dzulbaharin“Hasil risikan siasatan dan tindakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, tiga pekerja stesen minyak terbabit yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Siasatan mendapati suspek dipercayai merekod nombor MyKad pelanggan ketika mereka menggunakan kad pengenalan untuk mendapatkan subsidi Budi Madani bagi pembelian minyak,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Dzulbaharin nombor MyKad berkenaan kemudiannya dipercayai dimasukkan ke dalam mesin Budi Madani menggunakan kata laluan penyelia tanpa memerlukan MyKad fizikal.
Suspek kemudian dipercayai menggunakan nombor MyKad pelanggan lain ketika pengguna membeli minyak tanpa subsidi menyebabkan transaksi tersebut diproses pada harga subsidi dan memberikan keuntungan kepada mereka.
“Suspek utama telah didakwa di Mahkamah Majistret Lahad Datu hari ini (Rabu) mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas empat pertuduhan melibatkan penyalahgunaan butiran MyKad individu lain bagi transaksi subsidi Budi Madani.
“Suspek mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan serta empat sebatan. Hukuman itu diperintahkan berjalan serentak,” katanya.
Beliau berkata dua lagi suspek kemudiannya dijadikan saksi pendakwaan dalam kes berkenaan.
Susulan kejadian itu, Dzulbaharin menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila menyerahkan MyKad atau maklumat peribadi kepada pihak lain.
Beliau turut menggesa masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang penyalahgunaan subsidi Budi Madani.






