
Kota Kinabalu: Tiga pendatang asing tanpa izin dipenjara empat bulan setiap seorang kerana memasuki negeri ini secara haram.
Mereka ialah Nurul Izani Ibrahim, Adang Abdullah dan Ibrahim Wahab, berusia antara 21 hingga 50 tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap pendatang asing tanpa izin terbabit yang mengaku bersalah secara berasingan kerana memasuki negeri ini tanpa sebarang dokumen yang sah.
Kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda sehingga RM10,000, serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mereka ditahan oleh anggota Imigresen di Putatan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri pada 7 Mac.
Semasa mitigasi, mereka memaklumkan mahkamah bahawa mereka telah tinggal di negeri ini tanpa sebarang dokumen selama beberapa bulan dan bekerja sebagai buruh.
Mereka memohon dihantar pulang ke negara asal masing-masing secepat mungkin. Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap.
Mereka turut diperintahkan untuk dirujuk kepada Jabatan Imigresen bagi tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Pegawai Pendakwa Gresssia Yoland Ismail Uvaraj dari Jabatan Imigresen mengendalikan pendakwaan.


