ALOR SETAR – Salah seorang daripada tiga mangsa tragedi renjatan elektrik yang menyertai perarakan keagamaan di Mergong di sini pada malam Selasa melecur kira-kira 80 peratus pada seluruh badan dan masih tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa adalah seorang remaja lelaki berusia 16 tahun manakala dua lagi mangsa adalah peserta lelaki masing-masing berusia 17 tahun melecur kira-kira 40 dan 20 peratus namun telah sedarkan diri.
Menurutnya, dalam kejadian 9.20 malam itu, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada pegawai penyelaras kawalan keselamatan perarakan sebelum mengarahkan anggota ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.
“Ketiga-tiga mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan.
“Seorang mangsa mengalami kecederaan melecur kira-kira 80 peratus pada seluruh badan dan masih belum sedarkan diri, manakala dua lagi mangsa dilaporkan sedarkan diri tetapi masih dalam pemantauan pihak hospital,” katanya pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan tiga peserta perarakan keagamaan cedera dalam insiden renjatan elektrik ketika menyertai perarakan di jalan utama di Mergong pada Selasa malam.
Jelas Syed Basri, seorang peserta yang bekerja di sebuah premis perniagaan di Mergong mengalami kecederaan melecur kira-kira 40 peratus pada bahagian muka dan tangan.
Menurutnya, seorang lagi mangsa yang juga pelajar sekolah pula mengalami kecederaan melecur kira-kira 20 peratus pada bahagian tangan.
“Hasil temu bual awal dengan pegawai penyelaras keselamatan perarakan mendapati, tiang bendera sembahyang Pertubuhan Tow Boo Keong yang dibawa peserta dipercayai tersentuh talian utama bekalan elektrik ketika perarakan berlangsung.
“Seorang mangsa yang ditemu bual polis turut memaklumkan bahawa tiang bendera berkenaan tersentuh talian elektrik pada ketinggian dianggarkan 10 meter, menyebabkan dia bersama dua peserta lain terkena renjatan elektrik,” ujarnya
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila tiang bendera yang dibawa peserta menghampiri talian penghantaran elektrik voltan tinggi sehingga menyebabkan percikan arka elektrik.
TNB turut menyatakan kesediaan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.



![3 Remaja Terkena Renjatan Elektrik Ketika Perarakan: Apa Yang Kita Ketahui Setakat Ini [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/perarakan-di-Mergong.jpg?t=1791976815)


