KUALA TERENGGANU - Polis menahan tiga lelaki termasuk dua suspek utama kes samun bersenjata sebuah kedai emas di Batu Enam di sini pada 12 November lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, suspek berusia 31 tahun yang ditahan di sebuah rumah di sini pada 15 November dipercayai membantu dua suspek utama kes samun itu melarikan diri.
"Dua suspek utama berusia 26 dan 27 tahun yang ditahan di sebuah penginapan di Sanglang, Ayer Hitam, Kedah jam 6.30 pagi pada Rabu dipercayai cuba melarikan diri ke Thailand namun gagal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini pada Khamis.
Mohd Khairi berkata, polis merampas 47 gelang tangan dianggarkan bernilai RM100,000, tiga telefon bimbit dan satu kad SIM.
Beliau berkata, dua suspek utama itu direman hingga 25 November untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.
Mohd Khairi berkata, polis meneruskan siasatan untuk mengesan baki barang kemas yang dipercayai dalam simpanan suspek atau telah dijual.
"Semasa kejadian itu, suspek melarikan tiga dulang barang kemas dianggarkan bernilai RM500,000 dalam masa sangat singkat, iaitu kira-kira 13 saat,” katanya.
Mohd Khairi berkata, kereta Perodua Axia putih digunakan dua suspek untuk melarikan diri ditinggalkan di Kampung Pak Tuyu, Mengabang Telipot pada hari kejadian.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan. - Bernama






