BERITA tentang seorang ustazah berusia 57 tahun yang dipercayai tertekan pedal minyak kenderaan dipandunya sebelum merempuh pelajar Tingkatan Satu hingga maut di depan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Kota Bharu pada Ahad benar-benar menyentuh hati.
Merak Jalanan cuba bayangkan, seorang guru yang mungkin sudah puluhan tahun berkhidmat, mendidik anak bangsa, kini berdepan satu insiden yang pasti tidak pernah terlintas di fikiran.
Lagi tiga tahun sahaja untuk menamatkan perkhidmatan. Lagi tiga tahun untuk menikmati hasil penat lelah sepanjang bekerja tetapi takdir mendahului segalanya.
Dalam usia sebegitu, bukan mudah untuk memulakan semula kehidupan jika sesuatu yang berat berlaku. Kalau siasatan mendapati ada kesalahan, walaupun tidak disengajakan, persoalan lain pula timbul.
Bagaimana dengan masa depannya? Bagaimana dengan pencen yang menjadi sandaran selepas bersara nanti?
Merak Jalanan tahu, kehilangan seorang anak adalah luka paling besar bagi keluarga mangsa. Itu tidak boleh dibandingkan dengan apa-apa.
Bagaimanapun dalam masa yang sama, seorang insan lain juga mungkin sedang menanggung rasa bersalah yang akan menghantui seumur hidup.
Kadang-kadang hidup ini memang kejam. Bukan semua yang berlaku datang dengan niat. Ada perkara yang berlaku dalam sekelip mata tetapi kesannya berpanjangan.
Tiga tahun lagi nak pencen tetapi hari ini, masa depan itu jadi kabur. Yang tinggal sekarang hanya doa agar semua yang terlibat diberi kekuatan menghadapi ujian yang berat ini.




