Bekas guru tadika mengaku tidak bersalah pengubahan wang haram lebih RM100,000

LocalBusiness & Finance
3 Jul 2026 • 11:49 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bekas guru tadika mengaku tidak bersalah pengubahan wang haram lebih RM100,000
Venmani (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram. Foto: Bernama

SHAH ALAM - Seorang bekas guru tadika mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang tunai berjumlah RM133,550 serta barang kemas bagi urusan perpindahan ke luar negara, tahun lepas.

A Venmani, 50, membuat pengakuan berkenaan selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Fatimah Zahari.

Venmani didakwa menerima tiga transaksi hasil daripada aktiviti haram membabitkan wang berjumlah RM83,550 dan RM50,000 serta dua utas rantai dan sebentuk loket emas, daripada seorang wanita warga tempatan berusia 39 tahun.

Transaksi terbabit dilakukan setelah wanita terbabit mempercayai Venmani untuk membawa anaknya berhijrah ke New Zealand, bagi satu kehidupan yang menjamin masa depan.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di cawangan bank Bandar Baru Rawang, Rawang dan Kota Kemuning, Shah Alam serta sebuah kedai emas di Sri Muda, Shah Alam antara Januari dan Februari tahun lepas.

Justeru, Venmani telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 4(1(0) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) Akta yang sama.

Jika sabit bersalah boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu, pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit, yang mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakim Wan Ahmad Jaafar menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan, selain perlu mematuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, lapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Peguam Farith Emier Farhan Morni kemudian memohon mahkamah mempertimbang jaminan minimum, susulan tertuduh yang baru sahaja kehilangan kerja dan perlu menanggung ibunya yang sedang uzur.

"Tertuduh juga sebelum ini dituduh di mahkamah lain dan telah dibenarkan jaminan secara keseluruhan sebanyak RM30,000, saya dimaklumkan wang simpanannya sudah habis dan kini terpaksa bergantung dengan sumbangan ahli keluarga,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dan membenarkan kesemua syarat tambahan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Ogos. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved