Tiga warga Indonesia ‘kantoi’ seludup 3 tan timah

24 Aug 2026 • 3:37 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tiga warga Indonesia ‘kantoi’ seludup 3 tan timah

BATU PAHAT – Tiga lelaki warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan cuba menyeludup masuk jongkong dan serbuk timah tanpa cukai seberat tiga tan di perairan daerah ini, awal bulan lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Zulkifli, 46, Suhaimi, 30, dan Basri, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa mengangkut dan memindahkan barangan tidak bercukai membabitkan 121 bungkusan berisi jongkong serta serbuk timah seberat 3,000 kilogram (kg).

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 3.45 petang, 4 Ogos lalu, pada kedudukan 0.2 batu nautika barat laut Tanjung Telaga, di sini.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 (Akta 235) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM50,000, mana-mana yang lebih tinggi, atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Wardah Nasuha Safian, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu kerana pihaknya masih belum menerima laporan geologi berkaitan bahan rampasan.

Pendakwaan juga tidak menawarkan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan 25 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berdasarkan fakta kes, anggota APMM terserempak dengan dua bot dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan operasi di sekitar perairan Batu Pahat.

Pemeriksaan lanjut mendapati sebuah bot dinaiki tertuduh dipercayai membawa biji timah sebelum bahan berkenaan dipindahkan ke sebuah lagi bot.-KOSMO! ONLINE

The post Tiga warga Indonesia ‘kantoi’ seludup 3 tan timah appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved