
KLANG: Lima lelaki warga tempatan direman selama tiga hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian merusuh dekat sebuah restoran di Jalan Chan Ah Choo, Pandamaran, di sini, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, kelima-lima suspek didakwa memukul dua lelaki juga warga tempatan dengan menggunakan senjata.
“Mangsa berusia 22 dan 26 tahun mengalami kecederaan luka di bahagian muka dan hidung. Susulan itu Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka kertas siasatan.
“Kemudian, bertindak atas maklumat, polis menangkap lima suspek berusia 18 hingga 25 tahun. Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh dengan senjata,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Klang, hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Amirul Asyraf Salim di talian 010-338164,” ujarnya.
Katanya Jit Huey lagi, maklumat juga boleh disalurkan melalui Bilik Gerakan IPD KLang Selatan di talian 03-33762222 atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan. – UTUSAN
The post Lima merusuh dengan senjata di Klang direman tiga hari appeared first on Utusan Malaysia.






