Tikam gadis 61 kali: Penuntut kolej didakwa membunuh Nurfisya

Local
12 May 2026 • 11:06 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Tikam gadis 61 kali: Penuntut kolej didakwa membunuh Nurfisya

KUALA LUMPUR – Seorang penuntut kolej hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu atas pertuduhan membunuh seorang gadis, Nurfisya Zulkifly, dalam kejadian tragis yang menggemparkan di Ketereh, hujung bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Hazim Muhammad, 19, dilihat tenang dan hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid. Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Hazim didakwa menyebabkan kematian Nurfisya Zulkifly yang juga berusia 19 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Pengkalan Piah, Ketereh, Kota Bharu dianggarkan antara jam 11.40 malam (30 April) sehingga 12.20 tengah malam (1 Mei).

Mangsa sebelum ini dilaporkan ditemui dengan 61 kesan tikaman pada anggota badan.

Pertuduhan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati; atau penjara sehingga 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, wajib dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Pendakwaan diketuai oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan, Wan Azimah Yaacob, bersama Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah dan Ahmad Naabil Mohamed Asri.

Tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Alias Ibrahim.

Pihak pendakwaan telah memohon tarikh pengurusan kes sementara menunggu laporan pakar berkaitan dilengkapkan. Mahkamah kemudiannya menetapkan 2 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan pengurusan dokumen. - 12 Mei, 2026

The post Tikam gadis 61 kali: Penuntut kolej didakwa membunuh Nurfisya appeared first on Scoop.

View Original Article