KUALA LUMPUR - Platform digital memainkan peranan penting dalam ekonomi negara apabila data baharu daripada Laporan Impak Sosioekonomi TikTok 2025 menunjukkan rakyat Malaysia menjadikan platform itu sebagai sumber pendapatan dan perkembangan perniagaan.
Laporan yang diterbitkan bersama Kearney mendapati TikTok menyumbang sekitar RM20 bilion dalam Nilai Tambah Kasar (GVA) bersamaan hampir empat peratus daripada keseluruhan ekonomi digital negara.
Rakan kongsi di Kearney, Gareth Pereira berkata, platform itu telah menyokong 147,000 peluang pekerjaan di seluruh negara melalui ekosistem pencipta kandungan, penjual dan perniagaan di TikTok, TikTok Shop dan TikTok LIVE.
"Dapatan yang dibentangkan dalam laporan ini memberikan pemahaman menyeluruh dan berasaskan bukti tentang sumbangan sosioekonomi keseluruhan TikTok kepada ekonomi Malaysia.
"Analisis kami menunjukkan ekosistem TikTok telah melangkaui peranannya sebagai platform hiburan dan menjadi pemangkin ekonomi yang penting dalam memupuk inovasi, keusahawanan dan pertumbuhan inklusif,” katanya.
**media[3461492]**
TikTok Shop berjaya menghimpunkan lebih 1.8 juta perniagaan tempatan dan lebih 100,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerima latihan melalui kerjasama dengan rakan strategik kerajaan antaranya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Tekun Nasional.
Hasil tinjauan mendapati 97 peratus perniagaan menganggap TikTok sebagai sumber pendapatan utama di samping membantu membangunkan kemahiran baharu dalam bidang penguasaan teknik pemasaran digital, penghasilan kandungan yang menarik dan pengurusan sesi jualan secara langsung yang dihubung terus dengan pelanggan.
Dapatan laporan itu turut menunjukkan bagaimana TikTok mengubah minat dan kreativiti pencipta kandungan kepada kerjaya yang berdaya maju melalui pembinaan jenama peribadi dan pelbagai kerjasama perniagaan.
TikTok lonjak pendapatan lima kali ganda
Di sebalik angka utama laporan itu, kejayaan demi kejayaan dibuktikan antaranya Soneng Bakery yang diasaskan oleh Dayang Suziana Mawi, 44.
Baru setahun jagung dalam platform e-dagang, katanya, hasil bulanan perniagaan meningkat kepada antara RM15,000 hingga RM20,000 pada musim perayaan.
Tambahnya, sebelum ini perniagaannya bermula dari rumah hanya menjana sekitar RM3,000 hingga RM5,000 sebulan dengan menjual kek lapis Sarawak, kek belacan dan kek lumut pada tahun 2022.
"Segalanya bermula apabila salah satu video menjadi tular pada Februari 2025, meraih 2.1 juta tontonan dan menarik permintaan daripada penonton di seluruh negara.
“Detik itu menjadi titik perubahan apabila saya membuka ‘beg kuning’, dan dalam beberapa bulan jualan melonjak sehingga membolehkan saya membuka mini kilang serta menggajikan lima pekerja,” katanya.
Dayang Suziana menggunakan videonya untuk mendidik generasi muda tentang seni, kesabaran dan kebanggaan di sebalik setiap lapisan pencuci mulut ikonik Sarawak itu.
Tambahnya, TikTok membolehkan kami mencapai audiens baharu di seluruh negara dan berhasrat untuk mengembangkan Soneng Bakery ke Singapura, Indonesia dan Brunei.
Bagi Sandra Hanayu, 26, kehidupan awalnya sebagai pengendali operasi penerbangan berubah 360 darjah apabila kini dia dipenuhi kolaborasi jenama, penggambaran video dan penglibatan bersama komuniti.
Kandungan TikTok miliknya yang menggabungkan elemen antara kecantikan, pelancongan dan gaya hidup mula mendapat perhatian penonton.
Menurutnya, daripada tutorial penjagaan kulit dan tip solekan hingga ulasan hotel serta pengembaraan mendaki, dia berjaya membina niche tersendiri yang ditunjangi kreativiti dan kredibiliti.
"Perjalanan dalam ekonomi pencipta kandungan bermula hanya sekadar muat naik santai berkembang menjadi sumber pendapatan sampingan yang konsisten.
"Disebabkan TikTok, saya kini dapat menjaga ibu bapa saya dan membayar terapi adik saya yang autistik setiap bulan,” katanya.
Di sebalik tabir, Sandra mempunyai sebuah pasukan kecil yang terdiri daripada seorang pengurus dan seorang penyunting video, bekerja secara bebas.
Struktur pasukan yang sederhana ini membolehkan Sandra memberi tumpuan kepada aspek kreatif, sambil membuka peluang kepada ahli pasukannya untuk menjana pendapatan dan berkembang bersama.
"Kerjaya ini bukan sahaja membolehkannya menyara keluarga, malah membuka peluang pekerjaan kepada orang lain serta memberikan kebebasan kewangan,” katanya.
Sokong agenda pembangunan negara
Sementara itu, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, laporan tersebut menyokong keutamaan nasional di bawah MYDIGITAL, Pelan Hala Tuju Strategik E-Dagang Kebangsaan (NESR) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
“Keberkesanan platform seperti TikTok membuktikan bahawa penglibatan digital bukan sekadar mengikut trend, malah mampu menghasilkan nilai ekonomi nyata melalui pemerkasaan PMKS, sokongan terhadap pencipta kandungan, serta pembukaan ruang baharu bagi penjanaan pendapatan dan keusahawanan.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dan RMK-13, tumpuan kita adalah memastikan pertumbuhan ini inklusif, diyakini dan mampan melalui kerjasama kerajaan, industri serta ekosistem digital negara,” katanya.
Laporan Impak Sosioekonomi TikTok 2025 turut menggambarkan bahawa ekonomi digital bukan sekadar trend, sebaliknya menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.



